Neymar mulai ‘goyang’

SAO PAULO: Pemain termahal dunia, Neymar yang bergelut untuk meraih semula kecergasan bagi membantu Brazil mengharungi kempen Piala Dunia 2018 mulai bimbang dengan tekanan yang dihadapinya.

“Tiada siapa pun merasa takut seperti saya,” kata penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu, hari ini.

Sekalipun tidak beraksi sejak Februari lalu susulan kecederaan, beban di bahu Neymar tetap berat dengan negaranya berharap dia akan cergas bagi mengetuai Brazil menjulang kejuaraan di Piala Dunia.

“Saya tahu orang merasa sedikit cemas, tetapi tiada sesiapa lebih (cemas) berbanding saya, semua orang gugup mengenai kepulangan semula saya dan tiada sesiapa lebih takut berbanding saya,” kata Neymar kepada stesyen televisyen Brazil, TV Globo.

Neymar ditimpa kecederaan pada 25 Februari lalu ketika beraksi bersama PSG menentang Marseille dalam saingan Piala Perancis yang kemudian dimenangi kelab itu pada minggu lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu menjalani pembedahan bagi mengubati kecederaan kaki kanannya di Brazil pada Mac lalu dan sejak itu memberi petunjuk dirinya bersedia untuk mengharungi Piala Dunia di Russia.

“Ia masa yang amat sukar, betul? Saya fikir satu daripada perkara yang paling sukar pernah saya hadapi kerana saya amat hampir untuk mencapai mimpi saya, iaitu Piala Dunia.

“Terima kasih kepada Tuhan kerana memberi peluang ini kepada saya, kesempatan untuk cuba menjadi juara dunia bagi negara saya, iaitu impian saya sejak daripada kanak-kanak. Ia sasaran saya. Saya berharap ia adalah piala saya.”

Pada Piala Dunia 2014 di Brazil, Neymar mengalami kecederaan ngeri apabila sebahagian tulangnya di bahagian leher patah ketika beraksi di peringkat suku akhir.

Di peringkat kelompok empat terbaik, tuan rumah terpaksa melupakan khidmatnya sebelum dimalukan dengan kekalahan besar 1-7 kepada Jerman yang akhirnya menjadi juara. – AFP

 

Sumber: bharian

Apa Kata Anda?