Ronaldo sah jadi pemain Juventus

Penyerang sensasi Cristiano Ronaldo sah menyertai kelab Juventus, menurut pengumuman kelab bola sepak Sepanyol, Real Madrid Selasa lalu.

Menurut agensi berita Xinhua, kedua-dua kelab itu mencapai kata sepakat untuk nilai perpindahan 112 juta euro (kira-kira US$132 juta), sekaligus membolehkan pemain berusia 33 tahun itu menandatangani kontrak empat tahun dengan kelab yang berpangkalan di Turin, Itali.

“Real Madrid akur dengan kehendak dan permintaan Ronaldo, kelab ini membenarkan pemain itu untuk menyempurnakan proses perpindahannya ke Juventus.

“Kelab merakamkan penghargaannya kepada pemain ini yang mempamerkan prestasi terbaik di dunia, selain menempatkan dirinya dalam detik paling gemilang dalam lipatan sejarah kelab itu serta kancah bola sepak dunia,” kata Kelab Bolasepak Real Madrid dalam satu kenyataan.

Dalam sembilan tahun bersama Real Madrid, Ronaldo muncul penjaring utama kelab dengan 451 jaringan dalam 438 perlawanan.

Ronaldo memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara dalam tempoh lima tahun, dan dianugerahkan Ballon d’Or, atau Pemain Terbaik Tahunan sebanyak empat kali.

Melalui sepucuk surat yang dimuat naik di laman web rasmi Real Madrid, Ronaldo menulis “waktunya sudah tiba untuk menuju fasa baru dalam hidup saya.”

“Sembilan tahun yang amat menakjubkan. Saya pernah bermain menentang lawan yang hebat. Saya hormat dan menghargai mereka.”

Penghijarahan Ronaldo ke Juventus turut disambut baik oleh rakan sepasukannya Paulo Dybala dan Sami Khedira.

Datuk Bandar Turin Chiara Appendino menerusi twitternya menulis “Selamat datang Cristiano! Tahniah kepada Juventus di atas pencapaian besar itu.”

Bernama

Sumber: Source

Apa Kata Anda?