Video: ‘Lambung’ Anak Gara-Gara Tablet Hilang

SEORANG ibu di Argentina dirakam memukul anak perempuannya yang berusia tiga tahun, dan mengangkat mangsa ke udara dengan menarik rambut kanak-kanak itu di rumah mereka.

Dalam kejadian yang berlaku di Bahia Blanca, wanita berusia 33 tahun itu ‘naik hantu’ apabila peranti tablet mudah alih miliknya didakwa hilang, dan dia percaya bahawa kehilangan itu berpunca daripada perbuatan mangsa.

Memetik laporan portal Daily Mail, budak yang tidak bersalah dan teruk didera dalam rakaman tersebut merupakan anak sulung wanita itu.

Berdasarkan rakaman, kanak-kanak itu dipukul berulang kali oleh ibunya selepas dituduh menghilangkan peranti tersebut.

Pada satu ketika, wanita itu mengangkat anaknya secara kasar dengan menarik rambut dan menendang di bahagian bekalang menyebabkan mangsa terjatuh. Mangsa kedengaran menangis akibat kesakitan.

Menurut terjemahan daripada Mail Online, wanita itu menjerit kepada anaknya dengan berkata: “Kenapa kamu tidak ingat di mana kamu letak benda itu (tablet)?”

“Beri aku tablet, kamu letak ia di atas meja ketika aku sampai di sini. Berikan kepada aku kerana aku akan bunuh kamu.”

Difahamkan, kejadian tersebut dirakam oleh sepupu mangsa, dan ia dimuat naik ke laman Facebook sebelum menjadi tular sehingga mencetuskan kemarahan dalam kalangan netizen.

Sementara itu dalam laporan The Sun, penduduk setempat mahu berarak ke rumah wanita itu kerana terlalu marah, namun ditenangkan oleh wanita yang merakam kejadian tersebut.

Portal itu juga melaporkan pihak kebajikan sosial telah campur tangan dalam insiden tersebut dan pergi menyelamat mangsa serta adik-adiknya dari penjagaan ibu mangsa yang ganas itu.

Mangsa dan adik-adiknya kini tinggal bersama nenek mereka dan dilaporkan dalam keadaan baik. – MYNEWSHUB.CC