Menang gelaran tercantik dunia buat kali kedua selepas 11 tahun

Thylane pada usia 17 (kiri) dan enam tahun (kanan).

SEORANG model dinobatkan sebagai gadis paling cantik di dunia buat kali kedua selepas memenangi gelaran tersebut semasa kecil sejak sedekad yang lalu.

Model Perancis, Thylane Blondeau, 17, menjadi tumpuan dunia pada 2007 selepas sekeping gambarnya berusia 6 tahun menjadi tular di media sosial.

Kini, 11 tahun kemudian, dia sekali lagi mengisi senarai wajah paling cantik di dunia dan memberitahu pengikutnya di Instagram bahawa dia sukar mempercayainya.

Ranking wanita tercantik yang dianjurkan setiap tahun oleh pengkritik filem dan penulis TC Candler julung kali diadakan pada 1990 dan disasarkan untuk meraikan kepelbagaian.

Pelakon Michelle Pfeiffer dan Marion Cottilard serta supermodel, Jourdan Dunn antara juara terdahulu.

Thylane merupakan bintang kanak-kanak yang memperagakan jenama Jean Paul Gaultier pada usia empat dan 10 tahun.

Thylane diangkat sebagai gadis paling cantik di dunia.

Dia menjadi model cilik untuk menjadi penghias muka depan majalah Vogue Paris.

Pasa masa sama, gambar yang memperlihatkannya memakai kasut tumit tinggi dengan solekan yang sarat turut dikritik kerana disifatkan terlalu seksi.

Namun ibu Thylane, Veronika Loubry mempertahankan anaknya itu.

“Satu perkara yang mengejutkan saya mengenai gambar itu adalah rantai yang dia pakai bernilai hampir tiga juta euro,” katanya.

Thylane dalam satu temu bual bersama majalah Teen Vogue pada 2015 berkata mendapat kepercayaan dalam dunia peragaan pada usia yang muda adalah luar biasa.

“Kate Moss menjadi model pada usia 15 tahun dan itu suatu ketika dulu. Jadi saya tidak terlalu muda,” katanya.

Thylane yang juga anak kepada pemain bola sepak Perancis, Patrick Blondeau merupakan duta kepada L’Oreal dan pernah muncul dalam kempen musim panas Dolce & Gabbana dua tahun lalu. – Metro.co.uk / Mstar


Apa Kata Anda?