[VIDEO] Pengumuman 14 Peserta Maharaja Lawak Mega 2018!

SERDANG: Pertandingan Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) musim ke-7 bakal menampilkan semula beberapa kumpulan lawak terkenal dan gabungan pelawak daripada grup berbeza dalam sebuah kumpulan baharu.

Ketua Kandungan Strategik (Komedi), Namanzee Harris berkata, pihaknya berjaya mengumpulkan bakat-bakat komedi hebat dari Malaysia, Indonesia dan Singapura pada musim kali ini.

Menurutnya, program realiti pertandingan komedi itu juga dianggap sebagai platform untuk pelawak yang mempunyai bakat besar bagi melebarkan kerjaya mereka lebih meluas.

“Untuk penganjuran musim ke-7, kami sekali lagi berjaya menghimpunkan bakat-bakat komedi terhebat dari Nusantara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.

“Ada yang boleh dianggap senior dalam kalangan pelawak dan ada juga muka baharu yang terlibat dalam edisi kali ini.

“MLM kini umpama ‘dream stage’ buat pelawak-pelawak di rantau ini di mana penyertaan mereka bakal membuka pintu untuk mengembangkan bakat jenaka yang ada dan melebarkan kerjaya mereka melepasi sempadan negara,” katanya kepada mStar Online dalam sidang media di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, di sini pada Selasa.

Kumpulan Bocey.

MLM 2018 bakal menampilkan 14 peserta dan bakal bersiaran selama 14 minggu pada setiap Jumaat, ‪pukul 10‬ malam bermula 2 November depan.

Ia akan disiarkan menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Antara kumpulan lawak terkenal bakal menyertainya ialah iaitu Bocey yang dianggotai oleh Abam, Achey dan Fad selain kumpulan Puteh (Ali Mercik dan Mamak), Shiro (Ajak dan Shahrol) dan Zero (Atu, Syaiful dan Sharif).

Selain itu, pelawak yang bergabung pula ialah kumpulan Taman gabungan Tauke bersama Man Posmen, selain Joras yang dianggotai oleh Ropie, Joey dan Rahim Sepahtu.

Peserta lain yang turut terlibat adalah Dany, 2B (Man dan Weera), Abata (Wannawala, Alham dan Ilham), Kiut (Shendo, Niezam dan Tapai) dan Chilok (Achok, Kamal Sumbu dan Chiwan).

Personaliti TV iaitu Hilmy Ashley turut mencuri perhatian apabila muncul buat pertama kali sebagai peserta solo.

Kumpulan Zero turut sertai MLM 2018.

Manakala kumpulan Abioso (Ami, Mamad dan Sarip) mewakili Indonesia dan kumpulan Masin (Mamat Bora, Vicha dan Jiggy) menggabungkan tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Meneruskan tradisi pengenalan barisan juri MLM seperti musim-musim sebelumnya dan pemilik tiga kerusi juri tetap hanya akan diumumkan secara eksklusif pada siaran langsung minggu pertama nanti.

Sistem pemarkahan masih dikekalkan seperti musim terdahulu iaitu 70 peratus jumlah akan diberikan oleh barisan juri manakala 30 peratus daripada undian penonton melalui aplikasi TikTok yang akan dibuka secara rasmi pada 2 November depan pukul 10 malam.

MLM 2018 masih mengekalkan Datuk AC Mizal sebagai pengacara dan pemilihan tema pada musim ini ialah sarkas.

Juara MLM 2018 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000 manakala naib juara, RM250,000, tempat ketiga RM150,000, tempat keempat RM50,000 dan tempat kelima RM15,000 berserta trofi.

VIDEO :

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Berita Steady

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @BeritaSteady

Sumber : Mstar via IslamikInfo


Apa Kata Anda?