Amy (Search) bakal dapat anak ke-6 pada usia 60 tahun

Amy Search bakal bergelar bapa pada usia 60 tahun. Foto Instagram @aku.amysearch

BULAN Ramadan membawa khabar gembira buat penyanyi rock yang tidak asing lagi, Amy (Search) apabila beliau mendedahkan bakal bergelar bapa menjelang pada usia 60 tahun.

Amy atau Suhaimi Abdul Rahman memaklumkan isterinya, Norhasniza Hassan, 37, atau Nourish kini sedang hamil 30 hari.

“Isteri aku mengandung sebulan yeahhh! Aku selalu doa bila umur aku 60 tahun nak seorang anak lagi.

“Korang semua doakan moga aku berjaya. I love you, sayang @qasander,” tulisnya di Instagram.

Menerusi perkongsian itu, Amy turut berkongsi video Nourish sedang melakukan ujian ultra bunyi kandungan anak mereka di sebuah klinik swasta.

Amy dan Nourish ketika mendaki Annapurna.

Sebelum itu, Amy turut memuat naik video menunjukkan alat ujian kehamilan bertanda dua garisan merah yang membawa maksud hamil.

Sementara itu, ruangan komen penyanyi kumpulan Search itu dihujani dengan ucapan tahniah daripada pengikutnya yang menyifatkan berita itu sebagai keberkatan bulan Ramadan.

Untuk rekod, Amy dan Nourish yang berkahwin pada 2003 mempunyai tiga cahaya mata iaitu Alexander Zulkarnain, 14, Sania Samara, 13, dan Qaqa At-Tameemi, 9 tahun.

Amy turut mempunyai dua lagi anak iaitu Nabila Huda, 34, hasil perkahwinan pertama, Faridah Fadzil dan Irisha Myra, 21, perkahwinan ketiganya dengan Roslisa Ahmad. 

Menerusi perkahwinan kedua dengan Noorliza Abdul Latiff mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Amy dijangka menyambut kelahiran terbaharu itu pada Januari 2019. Kali terakhir dia mendapat anak kira-kira sembilan tahun lalu.

Penyanyi ini juga sudah mempunyai seorang cucu iaitu Keisha Laila, 7, iaitu anak kepada Nabila.

Selain berita gembira bakal mendapat anak ketika umur 60 tahun, Amy turut mencipta sejarah baharu dalam dirinya apabila berjaya tiba di Kem Pangkalan Annapurna (ABC), Nepal yang berketinggian 4,130 meter pada usia berkenaan.

Sumber: Source


Apa Kata Anda?