‘Berduet dengan Siti macam mimpi’

KUALA LUMPUR: Peluang keemasan berduet dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam lagu Cinta Syurga membuka mata Khai Bahar mengenai aura penyanyi tersohor itu.

Merakamkan lagu yang juga versi baharu single Comel Pipi Merah dalam bentuk zikir, Khai Bahar mendapat jawapan mengapa Siti disayangi peminat.

“Tahun lalu, saya terserempak dengan Siti ketika kami mengikuti raptai Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0. Ketika itu, saya hanya menegur ‘hai’ kepada beliau.

“Kali ini, suasananya berbeza kerana saya dapat berjumpa dan bekerja dengannya. Terserlah sikap dirinya yang cukup baik.

“Malah, sebaik tugas berakhir, rasa berat hendak meninggalkan studio. Siti memang ada aura tersendiri. Sudahlah cantik dan manis, merendah diri pula… Semuanya tampak sempurna.

“Ini membuatkan saya terfikir tidak salah atau rugi untuk sesiapapun meminati Siti,” katanya kepada BH Online.

Khai berkata, sejak menceburi dunia seni, dia tidak terfikir dapat berduet dengan penyanyi nombor satu negara itu.

“Saya rasa macam mimpi pun ada. Tak sangka dan langsung tak percaya kerjasama ini terjalin. Saya mengucapkan terima kasih kepada Siti dan pengurusnya, Kak Rozi atas peluang diberi,” katanya.

Khai berkata, sudah lama dia menyimpan hasrat untuk berduet dengan Siti.

“Ketika pihak pengurusan memaklumkan mengenai projek ini, saya sangat teruja.

“Memang projek ini rahsia, tetapi selepas Siti mengumumkannya, saya bersemangat untuk berkongsi pengalaman merakamkan lagu dengannya,” katanya.

Single Cinta Syurga yang turut mendapat kerjasama anggota kumpulan nasyid UNIC, Bazli, mula dipromosikan Ramadan ini.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Berita Steady

Sumber: bharian


Apa Kata Anda?