Demi Nana

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana sebak apabila seorang peminat istimewa sanggup menunggu lebih sejam untuk bertemunya di lokasi penggambaran drama, Pengantin Musim Salju, baru-baru ini.

Mesra disapa Nana, dia berkata, pada mulanya peminat yang hanya dikenali sebagai Izuddin itu datang menegur gandingannya dalam drama itu, Alif Satar sebelum menyatakan hasrat mahu bertemunya.

“Kebetulan penggambaran membabitkan saya bermula sedikit lewat, jadi dia terpaksa menunggu saya tiba di lokasi. Terharu rasanya, biarpun terpaksa menanti lebih sejam, dia langsung tidak merungut.

“Sebaik sampai di set penggambaran dan dimaklumkan mengenai kehadirannya, saya terus luangkan sedikit masa melayani permintaannya,” kata Nana.

Penyanyi yang popular dengan lagu Terus Mencintai itu berkata, dia tidak menyangka peminat itu begitu setia mengikuti perkembangan perjalanan kerjaya seninya sejak mula mencipta nama.

Lebih membuatkan Nana terharu, peminat itu turut membawa bersama keratan akhbar dan majalah yang disimpan sepanjang dia menjadi anak seni.

“Saya terharu apabila setiap cerita dan gambar saya yang keluar di akhbar dan majalah dipotong serta disimpan. Apabila dia menunjukkannya, saya hampir hilang kata-kata.

“Saya bertuah mempunyai peminat sepertinya. Mungkin dia tidak sempurna seperti orang lain, tetapi saya nampak keikhlasannya menyokong kerjaya seni saya,” katanya.

Kata Nana, dia turut sebak apabila peminat lelaki terbabit mahu bergambar bersama, tetapi tidak mempunyai telefon bimbit dan kamera.

“Menghargai sokongannya, saya ambil gambar kami bersama menggunakan telefon saya,” katanya.

Selain sibuk di lokasi penggambaran, heroin drama Dia Semanis Honey itu juga bakal muncul dengan single terbaru, Hatiku Milikmu pada 2 April ini, serentak dengan pelancaran muzik video lagu itu.

 

Sumber: Sumber


Apa Kata Anda?