Elfira Ajar Netizen Pertikai Tak ‘Show Off’ Isu Putus Tunang

Status hubungan Elfira dan Sufian masih menjadi tanda tanya. Foto Instagram: @elfiraloy.

SEHINGGA kini status sebenar hubungan pelakon Elfira Loy dan penyanyi Sufian Suhaimi masih menjadi persoalan.

Namun menerusi laman Instagram, Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 24, berkata orang luar boleh membuat spekulasi namun mereka tidak akan mengetahui kisah sebenarnya.

Malah, dia juga berpegang pada agama Islam yang mengajarnya untuk sentiasa menjadi orang baik, positif, memaafkan dan melupakan.

Elfira memuat naik status seperti menggambarkan keadaannya sekarang.

“Anda boleh cakap, anda boleh spekulasi tapi anda tak akan tahu cerita sebenar.

“Dan agama saya mengajar saya untuk sentiasa menjadi baik, positif, memaafkan dan melupakan,” tulis Elfira.

Selain itu, pelakon drama Kerna Syurga Bukan Percuma ini meninggalkan pesanan kepada pengikutnya supaya menjaga setiap kata-kata.

Menurutnya, jika seseorang itu bercakap mengenai perkara baik, maka dia adalah seorang yang baik. Manakala, jika sebaliknya, orang tersebut perlulah memperbaiki diri menjadi yang lebih baik.

Pertunangan Elfira dan Sufian dikatakan sudah berakhir.

“Anda adalah apa yang anda fikir. Kata-kata anda menentukan siapa diri anda. Renungkan kata-kata anda kepada orang lain.

“Jika anda bercakap mengenai perkara yang baik, anda baik. Jika anda bercakap tentang perkara-perkara buruk, anda perlu memperbaikinya untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Rata-rata pengikut di laman sosialnya itu mendoakan jodoh mereka berpanjangan dan meneruskan rancangan untuk berkahwin.

Dalam pada itu, menerusi Instastory Elfira membalas salah satu komen netizen yang mempersoalkan tindakannya yang dikatakan selalu menayang kemewahan namun tidak berkongsi berita putus tunang.

Elfira membalas salah satu komen netizen.

Kata Elfira, dia hairan dengan sikap netizen yang masih ingin melihat aktivitinya di laman sosial biarpun tidak menyukainya.

“Sekarang, biar saya ajar bagaimana nak memantulkan kembali apa yang awak cakap. Kalau orang cakap macam ini, apakah perasaan anda?

“Dan kenapa dia masih ingin melihat saya jika dia tidak menyukainya? Seperti, apabila saya muat naik sesuatu, awak mesti nak melihatnya, kan. Beritahu saya sebabnya,” kata Elfira.

Sebelum ini, Sufian pernah memberitahu dia dan Elfira tidak ‘berkawan’ di laman Instagram atas masalah teknikal.

Menerusi laporan mStar Online pada Khamis, penyanyi lagu Terasa Ada itu menukar nombor telefon peribadi serta meminta ruang dan tidak mahu diganggu buat sementara waktu.

Dikhabarkan pasangan itu menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan pertunangan mereka yang dikatakan sudah berakhir.

Pasangan selebriti ini mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober tahun lalu di Cheras, Kuala Lumpur.

Mengikut perancangan awal, perkahwinan mereka akan berlangsung pada bulan depan namun sehingga kini kedua-duanya masih belum memaklumkan tarikh sebenar pernikahan.

 

Sumber: mstar


Apa Kata Anda?