Faiz (Tapaw) ditahan polis, Shah pula yang kena

Shah tidak ada kena mengena dengan berita rakannya Faiz ditahan polis. Foto: AZLINA BT ABDULLAH.

PELAKON dan pelawak Shah (Tapaw) terkena tempias kontroversi membabitkan rakannya, Faiz (Tapaw) yang ditahan polis pada hujung Februari lalu.

Shah atau nama sebenarnya Mohd Shah Rizal Sulaiman, 28, berkata dia ada menerima beberapa panggilan telefon disebabkan artikel yang dikeluarkan sebuah blog mengaitkan namanya.

“Sedikit sebanyak berita penahanan Faiz itu ada memberi kesan kepada saya. Tambahan pula ada artikel yang menggunakan tajuk seakan-akan saya turut terbabit dalam kes tersebut.

“Malah, artikel itu juga guna foto saya dengan Faiz menyebabkan ramai yang ingat saya terlibat sama. Ada yang telefon saya untuk minta kepastian betul atau tidak terbabit.

“Namun ada media lain keluarkan berita yang betul cuma blog itu sahaja yang salah. Nasib baik keluarga kenal dan lebih percaya pada saya,” katanya.

 

Artikel yang menggunakan tajuk dan foto seakan Shah turut ditahan polis.

 

Shah ditemui ketika sesi fotografi calon-calon Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 di Sri Pentas, Petaling Jaya pada Isnin.

Sebelum ini, Faiz dilaporkan ditahan polis selepas pihak berkuasa itu menemui ganja seberat 7.5 gram dan alat menghisap ganja di kediamannya di Taman Melati dekat sini pada 22 Februari lalu.

Tambah pelakon drama bersiri komedi seram Muzium Misteri ini dia ada memberi nasihat serta teguran selepas apa yang telah berlaku kepada sahabatnya itu.

“Saya dan Faiz masih lagi berkawan baik dan kami selalu juga menghubungi satu sama lain. Selepas kejadian itu, saya ada juga menegur dan beri nasihat.

“Sebagai kawan, saya dah jalankan tanggungjawab dan dia pun dah besar. Memang Faiz melakukan kesilapan tapi dia pun sudah berubah ke arah yang lebih baik,” ujarnya.

Kumpulan Tapaw tidak pernah berpecah.

Shah dan Faiz atau nama sebenarnya Khairul Faiz Sulaiman yang merupakan kumpulan Tapaw mula dikenali semenjak menyertai program Bintang Mencari Bintang pada 2013.

Dalam pada itu, Shah dan pelakon gandingannya dalam drama Muzium Misteri iaitu Bell Ngasri dan Along Eyzendy tercalon dalam Anugerah DFKL menerusi kategori Aktor Pilihan.

“Saya, Bell dan Along pertama kali bergandingan menerusi drama itu. Peratus untuk menang itu kami tidak pasti. Tapi dah dapat tercalon ini pun kira dah bersyukur,” katanya.

Selain mereka, antara barisan pelakon yang turut bersaing dalam kategori yang sama ialah Zul Ariffin, Shukri Yahaya, Aeril Zafrel dan ramai lagi.

Shah dan Along Eyzendy tercalon dalam kategori Aktor Pilihan.

Bagi peminat yang ingin melihat artis mereka meraih kemenangan, boleh membuat undian bagi menentukan barisan pemenang untuk sembilan kategori tersebut bermula 1 Februari hingga 1 Mac 2018 di laman web rasmi DFKL 2018 iaitu www.dfkl.com.my.

Anugerah DFKL 2018 mempertandingkan 11 kategori iaitu Aktor Pilihan, Aktres Pilihan, Antagonis Pilihan, Pengarah Pilihan, Penulisan Skrip Pilihan, Lagu/OST Pilihan, Pasangan Pilihan, Drama Pilihan dan Drama Pilihan tonton VIP, yang ditentukan oleh jumlah undian diterima.

Manakala, Drama Radio Pilihan dan Drama Pendek Pilihan merupakan kategori khas pilihan juri.

Malam kemuncak anugerah yang meraikan penggiat seni itu akan diadakan pada 13 Mei depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)

 

Sumber: Mstar


Apa Kata Anda?