Netizen Bimbang Fatimah Lebih Banyak Guna Bahasa Inggeris Selepas Bersekolah.. Ini Jawapan Mengejutkan Ibunya!!

“Jange panggil Timoh.. panggil Fatimah, kalu pangil Timoh.. panggil Fatimah semula.”

Inilah dialog dalam salah satu video yang dimuatnaik bapanya di laman Instagram @thefamily.uk sejak pertengahan 2017 lagi hingga dilihat dan dikongsi ratus ribu warganet di seluruh dunia.

Kanak-kanak comel yang petah bertutur dialek Kelantan ini mula mencuri perhatian netizen kerana ramai kagum dengan didikan ibu bapanya.

Walaupun tinggal di kota metropolitan dan dilahiran di Birmingham, England, Fatimah Omar Mukhlis, 4, tidak malu bertutur dalam dialek Kelantan pekat.

Selain petah berbahasa Inggeris, dia juga diajar bertutur dalam bahasa Siam.

Antara video yang berjaya melonjakkan nama anak kedua daripada tiga beradik ini ialah video ‘Fatimah Masak Jepuk Pisey’ (cekodok pisang), yang paling diminati dan paling lama trending ialah #JangePanggilTimoh & #GAPOEVER dan yang terbaru rakaman dia menenangkan adiknya, Ali menangis.

MULA BERSEKOLAH

Anak kepada pasangan Omar Mukhlis Azizan, 38 dan Nor Ashila Mahamed Ismail, 38, yang hampir 20 tahun menetap di tanah ratu ini kini sudah menginjak alam persekolahan.

GPSBestari berkongsi momen indah Fatimah bersekolah.

Nor Ashila menceritakan, walaupun baharu berusia 4 tahun, Fatimah agak matang. Dirinya banyak mencontohi keperibadian abang sulungnya, Omar Mukhtar, 12 tahun.

“Fatimah seorang yang peramah dan mempunyai ramai kawan di sekolah. Itu bukan kerana dia popular, tapi kerana personaliti dia sendiri. Cikgu di sini tidak pilih kasih dan ini membuatkan murid lain selesa berkawan dengan dia tanpa timbul perasaan dengki antara satu sama lain.

“Apabila Fatimah berkongsi apa-apa berita mengenai pencapaiannya, mereka turut bergembira dan meraikannya. Fatimah selalu bawa keratan akhbar mengenai dia ke sekolah dan cikgu akan tampal dalam kelas untuk dijadikan sumber inspirasi kepada murid lain dan juga sebagai tanda penghargaan cikgunya kepada pencapaian Fatimah supaya Fatimah ‘feels more motivated’,” katanya.

Nor Ashila bercerita, pada mulanya, melalui komen di media sosial ramai warganet menyatakan kerisauan bila Fatimah mula bersekolah, kata mereka Fatimah lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris dan sudah mula melupakan dialek Kelantan.

Namun katanya, dia dan suaminya sedikit pun tidak risau kerana mereka menggunakan dialek Kelantan dalam kehidupan seharian di rumah selain turut berbahasa Inggeris.

“Sama seperti anak sulung kami, Omar Mukhtar, ramai yang tidak tahu yang dia juga fasih berdialek Kelantan. Cuma Omar Mukhtar terpaksa mengekalkan bahasa Inggeris apabila di alam maya supaya semua orang boleh faham termasuk rakan dan cikgunya yang sentiasa mengikuti perkembangan @thefamily.uk.

“Datang daripada keluarga campuran, saya sendiri fasih dalam pelbagai bahasa. Pada pendapat saya, kepelbagaian bahasa adalah satu kelebihan, bukan bahasa Inggeris saja. Sebab itu saya sentiasa galakkan anak belajar banyak bahasa,” katanya.

Kata Nor Ashila, dia juga menggalakkan anak-anaknya belajar bahasa Thailand walaupun ayah mereka tidak boleh menguasai bahasa itu.

“Walaupun ayah mereka tidak tahu berbahasa Thailand, saya galakkan anak-anak belajar dengan keluarga saya.. cara saya dan suami lebih kepada relaks iaitu lebih memberi kebebasan pada anak-anak, tidak memaksa sebab kanak-kanak tidak suka dipaksa, makin kita paksa, makin dia tak nak,” katanya yang berdarah Pakistan, Arab dan Thailand.

Menurutnya, dia dan suami tidak pernah menentukan anaknya perlu bercakap bahasa apa di rumah malah mereka tidak kisah anaknya bercakap bahasa rojak asalkan mereka selesa. Dengan cara itu mereka lebih seronok belajar.

Sebagai ibu, Nor Ashila juga kagum dengan Fatimah kerana dia yang paling fasih bertutur dialek Kelantan.

Semangat jati Kelantan dan cintakan dialek Kelantan sangat tinggi dalam diri Fatimah walaupun dilahirkan di England dan belum pernah berpeluang pulang ke Malaysia.

Katanya, kadang-kadang dia sendiri pun terkejut dengan cara Fatimah bercakap, dan yang paling unik Fatimah boleh campur bahasa Inggeris dengan dialek Kelantan di rumah tetapi ketika di sekolah, Fatimah dengan mudahnya dapat bercakap dalam bahasa Inggeris sepenuhnya dengan lancar.

TIDAK SEDAR RAMAI PEMINAT

Awal Oktober lepas, Fatimah muncul sebagai pemenang bagi anugerah online yang dipertandingkan dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31.

Si cilik yang bijak ini berjaya menewaskan semua calon lebih dewasa dan menjadi pemenang bagi kategori Personaliti Media Sosial Popular.

Siapa sangka setiap kali video yang berdurasi selama beberapa minit itu berjaya menarik lebih 100,000 tanda suka.

Kongsi Nor Ashila, Fatimah langsung tidak sedar yang dia mempunyai ramai peminat, yang dia tahu dia mempunyai ramai kawan dari seluruh dunia yang menyayanginya dan menyokongnya.

Dia menghargai mereka sehingga dia mengatakan jangan bersedih jika dia tidak memenangi anugerah berkenaan.

Menurutnya, Fatimah juga memberi jaminan kepada kawan-kawannya untuk tidak bimbang, walaupun dia tidak memenangi anugerah, dia masih akan terus memuat naik video untuk rakan-rakannya.

Tambah Nor Ashila lagi, kini, Fatimah telah memenangi anugerah itu dan sangat menghargai mereka yang mengundinya.

“Kami sentiasa mengingatkannya bahawa semua kawannya mengundi untuknya dan kerana itulah dia berjaya memenangi anugerah tersebut.

“Anda pasti tidak dapat bayangkan betapa gembiranya Fatimah apabila mengetahui ramai yang sayangkan dia. Lebih membanggakan, dia sebenarnya tidak kisahpun tentang trofi bagi Fatimah tercalon itu sudah lebih dari cukup. ‘Tagline’ dia untuk kawan-kawan (peminat)  ‘I don’t like you…I love U’ dan ‘Sek kito jange break,” katanya.

Menewaskan empat calon dewasa dalam kategori Personaliti Media Sosial Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, kanak-kanak petah berusia empat tahun, Fatimah Omar Mukhlis, berpesan semua pengikut menjaga hubungan agar tidak berpecah.

Fatimah yang menetap di London, United Kingdom (UK) memberi ingatan dalam dialek Kelantan berbunyi ‘sek kito jange break’ sebagai mesej semua pihak menjaga silaturahim.

Ibu Fatimah, Nor Ashila Mahamed Ismail berkata, anaknya gembira diumumkan sebagai pemenang menewaskan empat pesaing lain.

“Alhamdulillah, berkat doa ramai, akhirnya, impian anak kami, Fatimah menjadi kenyataan.

“Bagi pihak dirinya, kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menyokong dan mengundi. Kami bersyukur dikelilingi ramai insan yang senang dengan Fatimah dan abangnya, Omar Mukhtar dan adik mereka, Ali,” katanya melalui aplikasi WhatsApp kepada BH Online.

Fatimah yang mencuri perhatian netizen melalui akaun Instagram @thefamily.uk menewaskan pemenang tahun lalu, Makhlok Macho dan tiga pesaing lain iaitu Mat Luthfi, Johanis Sani dan Nur Aisyah Mohd Razip.

Nor Ashila berkata, pihaknya terharu dan tidak menyangka Fatimah yang masih kecil dan berada jauh dari Malaysia, menjadi perhatian ramai.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada BH dan ABPBH 31 atas pengiktirafan diberi. Anugerah ini sudah sampai ke UK,” katanya.

Nor Ashila berkata, beliau memohon maaf kerana tidak dapat membawa Fatimah pulang menerima trofi ABPBH 31, malam tadi.

“Anak kami termasuk Fatimah perlu ke sekolah… Jadi sangat mustahil untuk pulang. Memang kami merancang pulang ke Malaysia… Setiap hari rindu.

“Tapi saya dan suami kena mendahulukan pelajaran anak. Insya-Allah ada rezeki pada masa akan datang, kami sekeluarga akan pulang,” katanya.

Fatimah yang dilahirkan di Birmingham, pantas menarik perhatian kerana tidak melupakan bahasa Melayu selain fasih ‘kecek Kelate’ hasil didikan ibu bapanya. Fatimah juga fasih berbahasa Inggeris dan Thailand.

Video pertama Fatimah yang memaparkan dirinya menyediakan cekodok pisang (jepuk pisey) bersama ayahnya, tular sejak 2017. Fatimah juga dikenali menerusi laman Instagram bapa saudaranya, Adam Mahamed Ismail yang mesra dipanggil ‘Mamajee’.

VIDEO PENUH :

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Berita Steady

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @BeritaSteady

Sumber :  GPSBestari


Apa Kata Anda?