“Kenapa Burukkan Saya? Saya Bukan Bodoh Sangat Nak Selfie Berdekatan Jenazah Ibunya” – Zahirah Macwilson Bidas Zul Ariffin

Pelakon jelita, Zahirah Macwilson, 23, menafikan tuduhan bekas kekasihnya, Zul Ariffin yang mendakwa dirinya seronok ‘berselfie’ bersama seorang teman berdekatan jenazah arwah ibu Zul ketika di dalam masjid.

Menerusi sebuah temu bual, Zul, 31, mengesahkan cinta mereka telah menemui titik noktah dan mendakwa Zahirah ‘berselfie’ dengan gembira kira-kira 20 meter dari jenazah ibu tanpa rasa sensitif.

“Saya terkejut membaca kenyataan Zul. Fitnah semata-mata. Jika benar, kalau ada bukti, sila tunjukkan. Apa motif dia burukkan nama saya selepas membuat pengesahan yang kami sudah putus?

“Takkan saya tak ada perasaan? Takkan saya tak sensitif langsung? Saya pun ada mencium arwah ibunya. Agak-agaklah, saya bukannya bodoh sangat sehingga sanggup bertindak sebegitu.

“Memang saya ada di masjid ketika itu dan saya hadir bersama teman saya. Dia juga mengenali teman saya. Nak berkata tentang selfie, saya ada berswafoto dengan sepupu Zul, itu pun ketika di selesai malam tahlil. Bukan ketika berada di dalam masjid sewaktu jenazah ibunya masih ada.

“Selepas selesai kenduri, sepupunya ada meminta untuk mengambil selfie bersama saya, jadi saya turutkan sahaja,” kata Zahirah ketika dihubungi oleh Astro Gempak.

Tambah bintang drama bersiri Tak Ada Cinta Sepertimu ini, dia tidak faham dengan tindakan Zul yang seakan mahu memburukkannya.

“Kami sudah tiada hubungan, benar, sudah lebih sebulan, dia juga mengatakan sudah memaafkan saya, tetapi kenapa perlu memburukkan saya? Kenapa nak tabur fitnah?

“Kami putus pun bukan atas sebab tersebut. Saya tak mahu membuka mulut kerana itu akan membuka aib sahaja. Saya tak mahu burukkan sesiapa. Biarkanlah dia, saya hanya akan berdiam sahaja dan tak mahu berbicara lagi mengenai perkara ini.

“Apa yang berlalu, biar berlalu kerana saya mahu terus maju memandang apa yang ada di hadapan serta memberikan fokus kepada karier selepas ini,” katanya optimis mengakhiri perbualan.

Teks oleh: Kamaruddin Razal

Foto: Instagram Zahirah & Zul

 

Putus Cinta Sebulan Lalu, Zul Menyampah Lihat Zahirah Selfie Berdekatan Jenazah Arwah Ibu

Pelakon filem Tombiruo, Zul Ariffin, 31, mengesahkan ikatan cinta antara dirinya dan aktres Zahirah Macwilson, 23, telah bernoktah lebih sebulan lalu.

“Sejak tahun lalu, ramai sudah tahu mengenai perhubungan kami yang bagai ada pasang surutnya.

“Kami sudah putus. Gelombang hubungan kami sudah diketahui ramai sejak tahun lalu. Diakui, hubungan kami ada masanya putus dan bersambung semula dalam tempoh berkenaan.

“Sebab itu, saya hanya memberi ‘samar bayangan’ jika ada yang bertanya.

“Hari ini, saya mahu menegaskan, perhubungan itu sudah berakhir dan tidak mungkin bertaut kembali.

“Jika masih meneruskan hubungan, bermakna saya menganiayai diri sendiri. Tiada apa yang mahu disembunyikan lagi,” kata Zul.

Tambah Zul yang kehilangan ibu tercinta, Robiah Nasir pada 5 Disember lalu, dia tidak kecewa dengan perpisahan yang berlaku.

“Kecewa, tidak…! Kalau melihat orang ‘berselfie’ dengan gembira kira-kira 20 meter dari jenazah ibu tanpa rasa sensitif, inikah orang yang layak dibuat pasangan hidup?

“Itulah perasaan saya ketika melihat Zahirah seronok ‘berselfie’ bersama seorang teman berdekatan jenazah arwah ibu saya ketika dalam masjid.

“Ada beberapa saksi melihatnya, termasuk saya yang ketika itu mahu membuka penutup muka untuk mencium arwah ibu buat kali terakhir.

“Menyampah memandangnya, tetapi saya masih meneruskan hubungan. Saya tidak kejam dan tetap memaafkannya,” katanya.

Kata Zul, dia reda apabila masalah cinta yang berlarutan tak mampu untuk dipulihkan lagi.

“Saya tentunya mengharapkan ketenangan dan kebahagiaan dalam membina hubungan cinta.

“Jika terlalu banyak mengganggu kerja dan menjejaskan kehidupan peribadi, tiada guna untuk terus mempertahankannya. Tiada apa yang perlu saya kenangkan lagi,” katanya.

Sumber: BH Online

Kredit: Gempak.com / ceritadunia.org


Apa Kata Anda?