‘Lampu hijau’ buatmu isteri

PELAWAK dan penyanyi, Achey sama sekali tidak menghalang isterinya, Nor Hasanah Yahaya atau Anne untuk turut sama menceburi bidang seni.

Aksi lucu mereka pada malam peringkat akhir pertandingan Bintang Bersama Bintang (BBB) membuka rezeki baru apabila pasangan itu dipanggil mengadakan persembahan.

“Selepas ini, kalau dia berminat untuk terjun ke dunia seni, saya tidak ada masalah. Tetapi, saya rasa dia kurang berminat. Kalau dia buat pun, mungkin hanya ketika berganding dengan saya.

“Sebenarnya, pada pertandingan akhir, artis pilihan saya tidak dapat meluang masa. Dengan persetujuan produksi, saya memilih untuk berganding dengan isteri kerana dia individu yang memahami jalan cerita yang mahu saya sampaikan.

“Saya tidak sangka malam itu ‘energy’ dia sangat bagus hinggakan saya sendiri banyak terdiam. Saya akui memang terkejut melihat cara dia membawakan karakter itu,” kata Achey.

Tambahnya lagi, dia sedikit pun tidak memikirkan untuk muncul juara pertandingan itu.

Apa yang ingin dicapai adalah mencipta satu lagi kenangan bersama isterinya.

“Saya mahu mencipta kenangan dan penanda aras buat kami berdua. Ia kemunculan pertama kami bersama. Bolehlah saya kenang sebagai sejarah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Achey terbabit dengan sitkom Bocey & Friends Live serta muncul dengan filem berjudul Hantu Wangan.

Karya itu sudah mulai ditayangkan di pawagam bermula semalam.

Sumber: Sumber


Apa Kata Anda?