‘Macam hari Siti lahir’

KUALA LUMPUR: Ketika seisi keluarga dan peminat gembira menyambut kelahiran puteri sulung Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, ibu penyanyi tersohor itu, Siti Salmah Bachik, teringat detik yang pernah dilaluinya, hampir empat dekad lalu ketika melahirkan Siti.

Salmah, 68, memberitahu, suasana dikunjungi ramai sanak-saudara dan kenalan yang mahu melihat Siti sama dengan situasi dialaminya ketika Siti dilahirkan di rumah.

“Waktu itu, makcik melahirkan Siti di rumah dan ramailah kawan yang datang menziarah.

“Rasa seganlah apabila ramai yang melihat makcik nak bersalin. Situasi itu jugalah yang makcik lihat hari ini apabila ramai orang datang nak ziarah Siti selepas melahirkan bayi,” katanya kepada BH Online.

Mengakui berdebar terutama ketika anaknya diusung ke dewan bedah, Salmah sempat menitipkan pesanan berguna buat Siti.

“Makcik cakap kepadanya, banyakkan bersabar dan sentiasa ingatkan Allah… Insya-Allah akan selamat semuanya,” cerita Salmah yang tidak lekang dengan senyuman di bibir.

Sementara itu, kakak Siti, Siti Nursaida, 42, bersyukur kerana adiknya diberi peluang untuk menikmati pengalaman menjadi ibu.

“Kehadiran bayi ini umpama kurniaan Tuhan yang amat bermakna dan memberi kesan mendalam terhadap Siti.

“Pesan saya, Siti kena kuat dalam menjalani proses berpantang kerana cabarannya bukan kecil. Lalui pengalaman itu kerana ia saat yang akan mengingatkan kita betapa susahnya ibu menjaga dan membesarkan kita dulu,” katanya.

 

Sumber: BHarian


Apa Kata Anda?