Mr Grey mulai pulih

KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan pelakon utama drama Mr Grey, Fendy Bakry yang dilaporkan menghidap sakit misteri mula menunjukkan perubahan positif selepas hampir sebulan menerima rawatan.

Pengurus Besar Prokuya Studio, Fadzil Zahari berkata, perkembangan positif Fendy menggembirakan mereka yang sentiasa berdoa supaya pelakon yang bernaung di bawah pengurusannya itu kembali sihat.

“Alhamdulillah, keadaannya bertambah baik dan perkembangan itu memberi petanda positif untuk melihat Fendy segera pulih. Kami juga sentiasa berharap dia akan kembali sihat dan dapat bekerja seperti biasa.

“Semua ini berkat doa mereka yang tidak pernah jemu memberikan kata semangat untuk melihatnya sembuh seperti sedia kala. Fendy sangat berterima kasih kepada peminat yang setia mendoakan kesihatannya,” kata Fadzil.

Sementara itu, Fendy atau nama sebenarnya, Mohd Affandi Nor Bakri, 29, menerusi muat naik video di laman Instagram memaklumkan, dirinya berada dalam keadaan baik, selain turut mempromosikan drama lakonannya yang masih ditayangkan.

“Salam semua… hangpa sihat ka? Alhamdulillah abang okay… kita jumpa lagi malam ini,” tulis pelakon yang popular menerusi drama yang menggunakan loghat Utara itu.

Sebelum ini, Fendy dilaporkan pulang ke kampungnya di Perlis untuk mendapatkan rawatan selepas dikatakan mengalami penyakit misteri ketika menjalani penggambaran drama itu sejak awal bulan ini.

Ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan, pengurusannya terpaksa menunda semua komitmen seni pelakon yang dicungkil bakatnya menerusi program Pencarian Hero Remaja 2012 itu.

 

Sumber: Berita Harian


Apa Kata Anda?