Natasha Hudson nikah kali ke-4, kini isteri usahawan Kelantan

Pelakon Natasha Hudson dilaporkan melangsungkan pernikahan buat kali keempat dengan seorang usahawan dari Kelantan, Noor Nashriq Sekarnor pada malam Jumaat.

SELEPAS tiga kali gagal dalam perkahwinan, pelakon Natasha Hudson dilaporkan melangsungkan pernikahan buat kali keempat dengan seorang usahawan dari Kelantan, Noor Nashriq Sekarnor pada Jumaat malam.

Pasangan itu memilih untuk disatukan di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian dalam sebuah majlis sederhana yang dihadiri kaum keluarga dan rakan terdekat pasangan itu.

Adik pelakon itu, Tania Hudson turut memuat naik beberapa gambar pada majlis tersebut di Instastory, selain mengucapkan tahniah kepada kakak kesayangannya itu.

“Kepada kakak saya yang cantik, saya akan sentiasa berada di sisi kamu tidak kira apa pun,” tulisnya.

Usaha mStar untuk mendapatkan kenyataan Natasha berhubung perkahwinannya itu bagaimanapun tidak berjaya.

Tania memuat naik gambar bersama Natasha di Instastory.

Pada Oktober lalu, Natasha atau Natasha Liana Hudson 36, mengakui sudah bercerai dengan bekas suami, Carleed Khaza atau Khalid Kamal yang dinikahinya pada April 2012.

Sepanjang enam tahun berkahwin, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Naeema Kalila dan Faatimah.

Sebelum itu, Natasha pernah berkahwin dengan Mohd. Faiz Mohd. Raih pada 2006 namun rumah tangga mereka hanya bertahan selama empat bulan.

Aktres itu kemudiannya melangsungkan perkahwinan dengan Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007 namun rumah tangga itu hanya bertahan selama dua tahun.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Neesa Helena.

Sumber; Mstar


Apa Kata Anda?