Nazim Othman Tak Benarkan Sesiapa Usik Wajah Dan Rambutnya

Nazim Othman sentiasa menjaga penampilannya. FOTO: SYAZANA ABD SHUKUR

PUTRAJAYA: Pelakon Nazim Othman sanggup berhabis puluhan ribu ringgit untuk membeli sut sebanyak 40 pasang dan pakaian kasual demi wataknya sebagai Johan menerusi drama terbaharu, Mona Lisa.

Nazim atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman, 34, berkata dia tidak kisah mengeluarkan wang sebanyak itu kerana ia sebagai usahanya dalam menjayakan sesuatu watak.

“Saya sanggup keluarkan modal sendiri untuk menjaga imej. Lagipun sebagai seorang pelakon kita jangan berkira soal wang untuk imej.

“Sebab itu semua untuk kerja kita juga dan masa hadapan. Jadi, tak salah untuk habiskan duit bagi menjayakan sesuatu watak itu.

“Saya ada beli 11 sut di Vietnam dan selainnya tempah di sini sahaja. Kos perbelanjaan saya untuk imej dalam drama itu sebanyak puluhan ribu,” kata Nazim kepada mStar Online.

Nazim ditemui ketika sidang media drama Mona Lisa di Hotel Pullman Putrajaya Lakeside, di sini, pada Rabu.

Kata Nazim lagi, dia juga tidak membenarkan sesiapa untuk menguruskan rambut dan solekan di wajahnya kerana lebih selesa melakukannya sendiri.

“Macam rambut dan solekan di wajah saya tak pernah benarkan sesiapa usik. Saya akan buat sendiri.

“Sebelum datang ke lokasi penggambaran, saya dah bersiap terlebih dahulu. Saya lebih selesa melakukannya sendiri.

“Jurusolek di set hanya betulkan atau tambah jika perlu sahaja. Tapi hanya solekan, rambut hanya saya saja boleh buat,” ujarnya.

Antara mereka yang terlibat dalam Mona Lisa.

Dalam pada itu, Nazim pertama kali bergandingan dengan pelakon Zara Zya, Hafreez Adam dan Mona Allen menerusi drama Mona Lisa yang mempunyai 80 episod.

Menurut Nazim, dia sudah bersedia menerima sebarang kritikan memandangkan drama tersebut merupakan adaptasi daripada drama Korea popular iaitu The Women’s Room.

“Ini kali pertama saya bergandingan dengan Zara Zya, Hafreez Adam dan Mona Allen menerusk drama tersebut.

“Drama itu merupakan adaptasi daripada drama Korea popular dan saya tahu mesti ada yang membuat perbandingan.

“Secara jujurnya, saya tak kisah dan bersedia menerima sebarang kritikan,” katanya.

Drama arahan Shahrul Ezad Mohameddin itu mula bersiaran pada 20 Mac ini setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 6 petang.

Tayangannya menerusi slot Tiara di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

 

Sumber: Mstar


Apa Kata Anda?