“Saya akan angkat martabat wanita Islam…” – Naseha Uyaina dinobat Anugerah Puteri Muslimah Asia 2018

Tahniah diucapkan untuk personaliti dan pengacara Wanita Hari Ini (WHI) TV3 Naseha Uyaina Arshad apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018 yang berlangsung pada malam tadi.

Program yang julung kali dianjurkan stesen TV Indosiar di Jakarta itu melihat kejayaan Uyaina menewaskan Hanifah Razan dari Indonesia yang mendapat tempat kedua dan Avida Lale dari Turki di tempat ketiga selepas mereka mara ke peringat akhir.

Menurut laporan Harian Metro, setelah mengharumkan nama negara, gadis berusia 26 tahun yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu berkata kemenangan tersebut amat bermakna dalam hidupnya.

Tambah Uyaina, dia akan cuba sedaya upaya bagi memikul tanggungjawab untuk mengangkat martabat wanita Islam supaya menjadi pemangkin kepada masyarakat.

Uyaina yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000, tiara dan trofi itu turut disaksikan primadona alaf baru, Erra Fazira yang bertindak sebagai juri dari Malaysia.

Antara juri lain ialah aktivis dari Indonesia, Yenny Wahid, Siti Rahmawati (Turki), Marina Yusoff (Singapura) dan Daffy (Brunei Darussalam).

Pertandingan itu memperlihatkan 18 peserta dari enam negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Turki dan Timor Leste.

Sumber : Harian Metro

Kredit; Ohmymedia


Apa Kata Anda?