Seronok rupanya jadi suami – Elmy Moin

KUALA LUMPUR 31 Mac – Baru sahaja dua hari bergelar suami, pelakon Elmy Moin, 28, mengakui betapa seronoknya menempuhi alam perkahwinan sejak bernikah dengan peserta Akademi Fantasia 2013 (AF2013), Irsa Sahabuddin, 31 pada 29 Mac lalu.

Masih lagi sibuk menjalani penggambaran telenovela Monalisa, Elmy ketika dihubungi memberitahu, Irsa sah menjadi isterinya selepas dua kali lafaz kerana dibelenggu perasaan takut dan gementar.

“Alhamdulillah, walaupun dua kali akad dilafazkan, majlis pernikahan berjalan lancar. Apabila sah sahaja kami bergelar suami isteri, tiba-tiba hilang terus rasa gugup dan sungguh lega.

“Majlis akad nikah adalah satu detik paling mendebarkan. Makin dekat hari nikah, makin laju degup jantung. Tetapi, menjelang beberapa jam, keresahan bertukar menjadi teruja,” ujarnya berkongsi cerita.

Merancang untuk berbulan madu ke Seoul, Korea Selatan, Elmy bagaimanapun belum dapat memilih tarikh sesuai kerana terikat dengan jadual seninya yang padat.

Selain Monalisa, Elmy juga terbabit dengan penggambaran drama Nur untuk slot Samarinda TV3 serta siri Love Is You arahan Michael Ang yang bakal disiarkan di slot Mega Drama Astro Ria.

“Saya bersyukur kerana rezeki semakin mencurah-curah sejak kebelakangan ini. Back to back.

“Agaknya betullah apa orang kata, jangan takut untuk berkahwin kerana setiap fasa kehidupan itu ada rezeki yang telah diaturkan Allah,” jelasnya yang pernah membintangi siri Girlfriend Aku Dari Neraka itu.

Terdahulu, dalam majlis pernikahan yang berlangsung di sebuah lokasi di Sungai Besi itu, Elmy menyerahkan wang hantaran sebanyak RM11,111.11 kepada Irsa.

Selain itu, Irsa turut menerima mas kahwin berjumlah RM300, sebentuk cincin dan senaskhah al-Quran. – UTUSAN ONLINE


Apa Kata Anda?