Sofi Jikan Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

 

Gambar terbaharu Sofi Jikan yang dirakamkan pada Jumaat.

PETALING JAYA: Pelakon filem KL Gangster  iaitu Sofi Jikan yang didapati positif ganja dibebaskan dengan jaminan polis pada Jumaat.

Sofi atau nama sebenarnya Mohd Shoffi Jikan, 48, dibebaskan selepas keterangannya diambil berhubung kes berkenaan dan perkara itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Sofi ditahan reman selama tiga hari bermula Rabu lalu ketika hadir ke Balai Polis Mutiara Damansara di sini untuk membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat pengarah filem Datuk Farid Kamil kononnya terdapat tiga rakan artis yang memasukkan dadah dalam minumannya.

Selain Sofi, dua lagi rakan artis yang dikaitkan ialah Taj dari kumpulan Innuendo yang popular pada lewat 1990 an dan Firdaus.

mStar Default Image

Sofi Jikan

Sofi disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, Sofi dilihat berada di dalam kereta peronda polis jenis Proton Inspira di Mahkamah Majsitret Petaling Jaya pada pukul 10.10 pagi, Jumaat.

Dia kemudiannya dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di sini untuk proses jaminan polis.

Sofi yang ditemui selepas selesai jaminan polis berkata, dia berasa syukur kerana dibebaskan.

“Alhamdulillah… saya bebas hari ini dan saya nak balik rumah berehat,” katanya ringkas.

Dia turut ditemani peguamnya, Hanif Hassan.

Laporan media sebelum ini menyebut ada pertemuan antara Sofi dan Farid Kamil sebelum pengarah itu dilaporkan menampar anggota polis ketika hadir untuk membuat satu laporan di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu.

Farid yang ditahan kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM12,000 pada 16 Januari lalu.

 

Sumber: mstar


Apa Kata Anda?