Agong Sanggup Menolak Kerusi Roda Seorang Jemaah Masjid. Rupanya Lelaki Itu Bukan Calang-calang

Itu gambaran perasaan bekas Kadi Besar Pahang Datuk Abdul Mutalib Mohd Ali Al-Fakwie, apabila melihat perkembangan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang secara rasminya menggalas tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini.

Malah, cerita beliau, pertemuan terbaharu dengan Sultan Abdullah baru-baru ini begitu terkesan di hatinya apabila Seri Paduka sanggup mengenepikan protokol semata-mata untuk menolak kerusi roda beliau.

“…saya tersentuh dengan sifat prihatin tuanku apabila bertegas mahu menolak kerusi roda saya walaupun ada kenderaan khusus yang disediakan untuk baginda menuju ke khemah jamuan,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Ketapang di Kuantan, baru-baru ini.

Tak seronok

Abdul Mutalib, 87, berkata kejadian itu berlaku ketika majlis doa selamat dan kesyukuran di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan, pada 16 Jan lepas sempena pemasyhuran baginda selaku Sultan Pahang keenam baru-baru ini.

Kadi Besar Pahang bermula 1 Okt 1984 hingga 28 Nov 1991 itu berkata beliau menghadiri majlis di masjid itu bersama isteri Datin Rohani Hakim, 67, dan tiga anaknya selepas terkilan kerana tidak menghadiri istiadat pemasyhuran di Istana Abu Bakar di Kuantan, sehari sebelum itu, walaupun menerima jemputan.

” Saya bukan sengaja tidak mahu hadir tapi keadaan sekarang yang berkerusi roda selepas diserang angin ahmar pada Ogos lalu dibimbangi akan mencacatkan majlis besar dan penting seperti itu.

” Kebetulan anak yang merupakan kadi Rompin juga mendapat jemputan dan dia beritahu tuanku mencari kelibat saya di dalam dewan. Saya rasa tak seronok bila dapat tahu,” katanya.

Amat menghormati guru

Abdul Mutalib berkata mereka tiba di masjid itu awal supaya dapat meletakkan kerusi rodanya di bahagian pintu utama untuk ke ruang utama solat agar mudah dilihat oleh baginda.

‘Strategi’ itu berjaya kerana Sultan Abdullah yang bersalam dengan rakyat sepanjang laluan masuk ke ruang solat terkejut melihat kelibat bekas gurunya itu, lantas bersalam dan memeluknya.

” Ini tok guru saya….ini guru saya. Itu yang diucapkan tuanku berulang kali kepada tetamu lain. Saya terharu dengan perbuatan itu.

” Memang begitulah adab baginda dengan guru. Sejak saya mula mengajar baginda memang amat menghormati guru walaupun bergelar anak raja,” katanya.

Minat isu maqasid syariat

Anak jati Kampung Lubok Paku, Maran itu menambah kelas agama bersama Sultan Abdullah diadakan secara ‘one-to-one’ di pejabat baginda di istana lama di sini, setiap minggu melainkan jika baginda berada di luar daerah.

Katanya, beliau akan dimaklumkan oleh pegawai istana mengenai kelas, dan tidak pernah menunggu kehadiran baginda memandangkan tuanku sudah bersedia menanti kehadiran guru.

Bapa kepada 10 orang anak itu menambah Sultan Abdullah begitu berminat tentang agama terutamanya dalam isu ‘maqasid syariat’ iaitu menjaga agama, nyawa, keturunan, akal dan harta.

” Baginda sangat cenderung untuk memahami Islam dan tujuan disyariatkan perkara itu. Seterusnya diterangkan kepada baginda apa itu Islam, iman dan akhlak…begitulah baginda dalam mendalami agama.

” Tuanku gemar berdebat dan bertanya. Jika topik itu memerlukan penyelidikan mendalam, saya akan minta kebenaran supaya diberikan masa sebelum menjawab,” katanya.

Abdul Mutalib yang merupakan Tokoh Maal Hijrah Pahang 2002 menambah beliau yakin Sultan Abdullah akan menjadi pemimpin yang adil kepada semua, berdasarkan kepada keperibadian baginda yang sentiasa mencari ilmu, tidak sombong dengan rakyat dan berpengetahuan tinggi.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di @BeritaSteady

Sumber : malaysiakini


Apa Kata Anda?

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*