“Aku akan bayar dengan segala harta yang aku ada” Inilah Luahan seorang guru

Kerana kasihkan anak-anak yatim ini, Cikgu Fadli tekad untuk membantu, termasuklah melangsaikan hutang itu sendiri.

Melalui akaun facebooknya, Cikgu ini berkongsi akan janjinya, “Aku akan bayar dengan segala harta yang aku ada.” Ikuti perkongsian beliau.

Hari ini, aku betul-betul bertawakkal pada ALLAH taala sahaja dengan satu janji.

Aku dah berjanji dengan Kak Reena akan bantu bayar barang dapur untuk Rumah Anak Yatim & Miskin Raudhatul Nurr Jannah, sebanyak RM1500 sebulan.

Penjamin aku hanya ALLAH dan rasulnya. Hanya itu jaminan yang aku ada.

Ziarah terakhir aku pada hari ini ialah rumah anak yatim ini. Rumah anak yatim ini sedang dalam proses mendaftar dengan JKM. Sementara itu, mereka amat memerlukan dana.

Kos pengurusan rumah anak yatim sangat tinggi. Sedangkan rumah anak yatim ini tiada bantuan tetap setiap bulan.

Aku masuk melihat stor makanan mereka. Alhamdulillah, stok barang kering banyak. Beras, biskut bertimbun lagi.

Kata Kak Reena, pusat kebajikan Cina yang hantar baru-baru ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Masalah sekarang ialah kos barang basah. Barang basah perlu kerana mereka memasak setiap hari untuk 20 orang anak yatim usia 6-16 tahun yang tinggal di sana sekarang.

Jumlah sebenar anak-anak yatim ialah 45 orang, namun selepas baru pindah ke rumah baru atas sebab-sebab tertentu, rumah baru ini hanya mampu memuatkan 20 orang sahaja.

25 orang lagi terpaksa dipulangkan kepada ibu dan penjaga mereka sementara Kak Reena berusaha mencari dana dan rumah kedua untuk menempatkan anak-anak itu.

Akhir tahun lepas, Dana Kita bantu persiapan seragam sekolah anak-anak yatim ini.

Hari ini aku pergi sendiri dan ziarah rumah anak yatim ini untuk berbincang tentang kos makanan basah pula.

Akhirnya aku memutuskan untuk bawa Kak Reena jumpa tokey Mini Market di Greenwood (milik Melayu Muslim) dan berbincang. Aku kata kat tokey kedai tu,

“Ni Kak Reena. Pengurus rumah anak-anak yatim Raudhatul Nurr Jannah. Bila-bila sahaja Kak Reena datang untuk ambil barang basah atau apa-apa barang, Kak  Mah bagi sahaja ya.

Nanti saya bayarkan. Wasap sahaja saya berapa jumlah, InsyaAllah saya transfer dan bayar.”

Kak Mah mengangguk tanda faham. Laku juga air liur aku ni. Tak perlu hitam putih, hanya bincang sekejap di meja kecil, keputusan tercapai.

Maka selepas ini sehingga Disember 2019, Dana Kita akan bantu barang basah rumah anak yatim ini dengan kos RM1500 sebulan. Kos sebenarnya lebih daripada tu. Namun kos selebihnya Kak Reena akan bayar guna dana mereka.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kepala aku ligat mencongak baki akaun Dana Kita. Kiriman sumbangan dari kawan-kawan aku ini tidak menentu. Kadangkala laju yakmat, kadangkala perlahan sangat.

Sebab itu aku kata penjamin aku saat aku menutur janji petang tadi hanya ALLAH dan Rasul sahaja.

Dan jika berlaku di mana Dana Kita kekeringan tapi ada hutang perlu dijelaskan, aku akan bayar dengan segala harta yang aku ada.

Kerana aku menjunjung amanah lebih dari nyawa aku. Dan menjaga janji lebih dari menjaga diri sendiri. Itu aku!

Yang nak bantu terus rumah anak yatim ini, ada nombor Kak Reena pada gambar terakhir itu.

Dan makluman buat semua kawan-kawan yang setia mengirim sumbangan kepada aku melalui Dana Kita, di sini aku akan laburkan saham kalian secara tetap setiap bulan sepanjang tahun ini.

Projek amal Dana Kita yang lain seperti projek waqafan, projek ziarah asnaf, projek barang dapur, projek tuisyen anak-anak asnaf, projek bantuan yuran sekolah, projek pakaian seragam, projek alatulis dan buku anak-anak asnaf dan projek-projek amal yang lain akan diteruskan seperti biasa setiap bulan.

Cuma projek barang basah rumah anak yatim ini akan menjadi satu lagi tambahan projek tetap secara bulanan.

Terima kasih buat semua yang terus menerus menyokong Dana Kita dan aku.

Kita mungkin tidak pernah bersua di dunia, namun aku selalu berdoa agar kita saling menyapa di taman-taman syurga.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di @BeritaSteady

Sumber : Sinar Harian via Newsviral


Apa Kata Anda?

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*