Tiada siapa sudi hadiahkan cincin, Mira Filzah akhirnya beli untuk diri sendiri

PELAKON dan pengacara Mira Filzah mengambil keputusan untuk membeli sebentuk cincin untuk dirinya sendiri walaupun dia mengharapkan seseorang menghadiahkan kepadanya.

Mira berkata, dia membuat keputusan membeli sendiri cincin itu sebagai ganjaran dan penghargaan untuk dirinya sendiri selepas bekerja keras sebelum ini.

Kata Mira lagi, cincin tersebut adalah lambang untuk dirinya sendiri dalam menjadi seorang wanita yang kuat pada masa hadapan.

“Pada akhirnya, sebentuk cincin yang sempurna adalah anda beli untuk diri sendiri, sebagai ganjaran dan penghargaan untuk setiap kerja keras, tidak tidur malam, lelah dan air mata.

“Simbol untuk diri sendiri, simbol kuasa, menjadi kuat, kekal kuat, terus kuat dan kerana berani berhadapan dengan segala yang berlaku di antaranya.

Mira berkongsi gambar cincin yang dibeli dengan pengikutnya di Instagram.

“Hanya anda yang tahu tentang kesakitan dan kepayahan, cinta dan kegembiraan diri sendiri. Cheers to new year, new life, bigger goals and bigger dreams 2019!,” katanya.

Dalam pada itu, Mira berkata, dia sebenarnya tidak gemar memakai aksesori namun sentiasa mahukan sebentuk cincin yang dihadiahkan oleh orang lain kepadanya.

Katanya, dia bukan tidak mampu hendak membeli cincin yang diinginkan namun merasakan hadiah daripada seseorang mampu memberi nilai dan memori kepadanya.

“Saya tidak suka memakai aksesori langsung tapi saya sentiasa mahukan sebentuk cincin. Hanya sebentuk.

Mira berazam untuk menjadi seorang wanita lebih kuat.

“Tapi taknak beli sendiri. Saya mahu cincin sebagai hadiah daripada seseorang. Saya mahu cincin itu mempunyai nilai dan memori yang boleh saya kenang setiap kali melihatnya.

“Saya mahu cincin itu menjadi sesuatu yang istemewa kerana ia adalah satu-satunya aksesori yang saya pakai setiap hari,” ujarnya.

Tambahnya, dia sentiasa berlawan dengan diri sendiri setiap kali melihat cincin yang cantik namun menahan dirinya daripada membeli.

“Setiap kali Mira keluar, mesti tengok cincin cincin yang cantik. Mulalah dalam hati terdetik, nak beli ke tak. Nak. Nak ada satu! Tapi tak nak beli sendiri.

“Bukan kerana saya tidak mampu, saya mahu ia menjadi istimewa. Sejajar dengan peredaran masa, saya menahan diri, sentiasa melihat cincin yang cantik dan terus bermimpi,” katanya lagi di Instagram.

Sumber: Mstar


Apa Kata Anda?