1MDB: FBI, DoJ dedah tindakan Dzulkifli, Apandi

PETALING JAYA: Pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat (AS) mengesahkan gagal mendapat kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara berhubung kes 1MDB.

Pendedahan itu dibuat dalam pertemuan dua hala antara Pasukan Petugas Khas 1MDB dengan wakil kedua-dua pihak berkenaan di Kompleks Pejabat Perdana Menteri pada 11 pagi, Khamis.

Kenyataan yang dikeluarkan menyebut, perbincangan berkisar tentang hala tuju dan fokus siasatan 1MDB, permohonan bantuan bersama bagi perkara jenayah (MLA) dan proses membawa semula aset-aset yang dibekukan di AS.

“Antara isu yang dibangkitkan ialah permohonan pihak FBI yang menghantar surat permohonan bertarikh 13 November 2016 kepada , Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu tetapi permohonan tidak mendapat maklum balas sehingga hari ini.

“Pihak DOJ juga mengesahkan ada membuat permohonan melalui MLA kepada Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali pada 22 September 2017.  Bagaimanapun permohonan ini tidak dipenuhi dan ditangguhkan atas alasan ia akan menggangu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa di Malaysia. Oleh itu tiada kerjasama diberikan sehingga hari ini,” menurut kenyataan itu.

Perbincangan dipengerusikan bersama oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador.

Selain itu, pihak DOJ dan FBI juga telah  merakamkan ucapan terima kasih di atas kerjasama pihak kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang baharu setelah tiada apa-apa tindakan berkaitan 1MDB semasa kerajaan sebelum ini.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk memberi kerjasama sepenuhnya bagi menyempurnakan siasatan yang dijalankan dengan mengadakan perjumpaan bagi memberi bantuan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

 

 

Sumber: Mstar


Apa Kata Anda?