Ahmad Faizal MB Perak yang baharu

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menerima menghadap Pengerusi Pakatan Harapan Perak Ahmad Faizal Azumu dan Anggota-Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan bagi membuktikan mereka mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri di Istana Kinta pada tengahari Sabtu.

KUALA KANGSAR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Ahmad Faizal Azumu dilantik Menteri Besar Perak yang baharu.

Istiadat penyampaian surat cara pelantikan dan upacara angkat sumpah itu disempurnakan di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah.

Berangkat sama pada upacara itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah.

Istiadat pengisytiharan pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak itu turut disaksikan oleh para pembesar negeri, wakil rakyat PH serta ketua-ketua jabatan kerajaan di negeri ini.

Sultan Nazrin memperkenankan pelantikan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak selaras dengan Fasal (1) dan Fasal (2) Perkara 12 dan perenggan (a) Fasal 2, Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

Majlis turut disempurnakan dengan bacaan doa oleh Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim sebelum diikuti titah ucapan Sultan Nazrin.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi; Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; dan Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Turut mengiringi isteri Ahmad Faizal, Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak dipilih sebulat suara pimpinan Harapan Perak mengetuai kerajaan selepas gabungan parti itu mendapat sokongan dua Adun BN bagi membentuk majoriti.

Dalam keputusan PRU14 yang diumumkan, PH memperoleh 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), BN pula mendapat 27 kerusi manakala Pas hanya tiga kerusi.

Bagaimanapun, PH Perak memperoleh majoriti selepas dua Adun BN memberi sokongan kepada PH untuk membentuk kerajaan.-SinarHarian

 

Sumber; Mstar


Apa Kata Anda?