Akhirnya Facebook akui terdapat kegiatan curi data jutaan pengguna

SAN FRANCISCO 22 Mac – Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg hari ini akur untuk mengambil tindakan bagi mengatasi masalah jutaan data pengguna gergasi media sosial berkenaan yang dicuri.

“Kami bertanggungjawab melindungi data pengguna, dan jika kami gagal, kami tidak layak untuk melayani pengguna,” kata Zuckerberg yang pertama kali membuat kenyataan berhubung skandal pencurian data pengguna Facebook oleh syarikat British yang mempunyai kaitan dengan kempen pilihan raya Presiden Donald Trump pada 2016.

Zuckerberg mengumumkan langkah terbaharu bagi menangani ketirisan data daripada pembangun dan aplikasi pihak ketiga dengan memberi pilihan yang lebih untuk pengguna mengawal maklumat pribadi masing-masing.

“Ini perbuatan pecah amanah dan saya memohon maaf kerana ia telah terjadi,” kata Zuckerberg dalam wawancara dengan CNN.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan perkara ini tidak berulang lagi,” katanya.

Zuckerberg juga berkata, beliau bersedia untuk memberi keterangan kepada kongres jika isu Facebook itu dibangkitkan.

Pada masa sama, kata pengasas Facebook itu, beliau setuju dengan penggubalan undang-undang untuk mengawal media sosial ketika ini semakin memuncak berikutan ledakan teknologi berkaitan.

Zuckerberg berkata, langkah telah diambil sejak 2014 bagi mengelakkan penyalahgunaan sedemikian, tetapi kini ia perlu dipertingkatkan lagi.

Skandal berkenaan terbongkar apabila pendedahan dibuat berhubung perunding data British, Cambridge Analytica (CA) telah membentuk profil psikologi 50 juta pengguna Facebook menggunakan satu aplikasi yang dibangunkan oleh penyelidik Aleksandr Kogan bagi membuat jangkaan personaliti pengguna media sosial.

Aplikasi itu telah dimuat turun oleh 270,000 orang, dan pada masa sama telah mencuri data rakan di dalam media sosial, walaupun dinafikan oleh Facebook pada ketika itu.

Facebook berkata, mereka menyedari minggu lalu CA tidak memadam data yang telah diperakui.

“Kami tidak sepatutnya mempercayai perakuan oleh Cambridge Analytica, dan kami tidak akan membuat kesilapan yang sama lagi,” kata Zuckerberg.

Facebook kini sedang menilai kembali berapa banyak akses data bagi aplikasi jaringan sosial dan akan melaksanakan pemeriksaan sepenuhnya jika terdapat sebarang keraguan, kata Zuckerberg. – REUTERS

 

Sumber: UTUSAN ONLINE


Apa Kata Anda?