‘Betul ke lauk sotong tumpah?’

“APA yang mereka tawarkan dalam pakej (perkahwinan) tidak seperti dihidangkan pada hari berlangsungnya majlis, kami sekeluarga kecewa kerana diperdaya dan terpaksa menanggung malu kepada tetamu.”

Itu luahan Nur Amalia Zukipli, 26, yang mendakwa ditipu syarikat pengendali makanan yang menyediakan hidangan pada majlis perkahwinan abangnya, Mohd Nor Afzarizal dan pasangan Amy Nor Alice Kamaruddin pada 24 Mac lalu.

Menurutnya, syarikat beroperasi di Kuala Lumpur dan mempunyai cawangan di Kuantan itu turut melantik duta pasangan selebriti popular tanah air bagi melariskan perniagaan mereka, namun tidak bersikap profesional kepada mereka sekeluarga.

Katanya, antara perkara dijanjikan namun gagal dipenuhi syarikat itu termasuk tidak menyediakan lauk tambahan untuk 500 tetamu, tidak menepati masa dalam mengendalikan majlis perkahwinan serta beberapa pekerja didakwa bersikap kurang ajar.

“Keluarga saya membuat tempahan sejak tiga bulan lalu dan sebanyak empat kali wang didepositkan dalam akaun syarikat itu yang keseluruhan berjumlah RM19,800.

“Apa yang mereka tawarkan sebelum kami menandatangani perjanjian tidak seperti dihidangkan pada hari majlis dan mereka banyak memberikan alasan tidak munasabah bagi menutup kelemahan syarikat itu,” katanya ketika ditemui wartawan di kediaman mereka di Taman Kota SAS, Kuantan, hari ini.

Sementara itu, Mohd Nor, 35, mendakwa makanan dijanjikan untuk 1,000 tetamu seolah-olah tidak mencukupi apabila ia mula dihidangkan pada 12.30 tengah hari, namun sudah habis sebelum jam 2 petang.

Malah, katanya, keluarganya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri membeli nasi beriani kerana bimbang ada sebahagian tetamu masih belum menjamu selera.

“Lauk sotong dijanjikan tidak muncul dan pihak katering itu memberikan alasan hidangan itu tertumpah dalam lori dan alasan itu langsung tidak munasabah…kami sekeluarga berasa bosan seolah-olah diperdaya dan ditipu mereka,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Indera Mahkota, kelmarin.

Sementara itu, wakil syarikat pengendali makanan dan pengurusan perkahwinan di itu ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai aduan serta ketidakpuasan hati keluarga terbabit untuk dirujuk kepada ibu pejabat.

“Keputusan ini tidak boleh dibuat oleh saya kerana ibu pejabat akan buat keputusan serta menjalankan siasatan.

“Kami sudah berbincang dengan mereka dan berlaku sedikit salah faham, bagaimanapun saya sudah jelaskan perkara ini akan mengambil masa sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kami sudah berbincang mengenai ganti rugi akan dibuat membabitkan hidangan sotong yang tidak dapat dipenuhi akibat masalah teknikal dan saya harap mereka dapat bersabar dan tidak memperbesarkan perkara ini,” katanya.

 

Sumber: hmetro


Apa Kata Anda?