Gangguan orang minyak berterusan

Gangguan orang minyak berterusan

Barangan yang dikatakan dijumpai di bawah rumah mangsa.

KOTA BHARU – Gangguan didakwa orang minyak terhadap seorang remaja perempuan di Kampung Pengkalan Demit, Kubang Kerian, masih berterusan.

Bapa remaja itu, Kamarulzaman Mat Yunus, 44, berkata, sebanyak empat keping cermin tingkap di bilik anak sulungnya itu, Nik Anis Ashira Kamarulzaman, 17, pecah antara tempoh 5 petang dan 2 pagi.

“Cermin tiba-tiba pecah seperti dipukul seseorang, namun kami tidak melihat pelakunya. Dalam satu kejadian, semasa anak saya sedang ke bilik air pada 5 pagi tadi (semalam), cermin muka yang tergantung di dinding seolah-olah dihempas ke lantai.

“Kejadian itu betul-betul berlaku di hadapannya dan lebih teruk ketika seorang penduduk cuba membantu semasa cermin tingkap dipecahkan, tiba-tiba dia ditolak oleh seseorang sehingga melambung ke pintu bilik,” katanya.

Kamarulzaman berkata, pihaknya turut menemui kain putih serta suatu objek seperti batu di bawah rumah.

“Malam tadi (kelmarin) ada pengamal perubatan tradisional yang jumpai kain serta objek seperti batu di bawah rumah.

“Setakat ini, saya masih berbincang dengan keluarga untuk mengambil tindakan yang dirasakan perlu bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi kami,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Nik Anis Ashira menjadi mangsa pertama serangan didakwa orang minyak apabila dia yang sedang menjemur pakaian tiba-tiba dicekik, diheret dan diikat dengan tali ke kerusi dalam rumah.

Penduduk turut diganggu dengan dibaling batu, pintu diketuk berkali-kali dan cermin tingkat rumah dipecahkan, namun mereka tidak dapat melihat siapa yang melakukan khianat itu.  

Peristiwa misteri yang berlaku sejak sebulan lalu itu menyebabkan kira-kira 40-60 penduduk melakukan rondaan dan berkawal di sekeliling rumah remaja itu.

ARTIKEL BERKAITAN; ‘Orang minyak’ heret, cekik anak dara Kubang Kerian

Sumber: Sumber


Apa Kata Anda?