Isteri pernah nasihat berhenti main ular

Aziena (dua, kanan) menerima pingat kebesaran dan anugerah perkhidmatan cemerlang yang disampaikan Wan Mohd Nor (dua, kanan). Turut sama hadir menerima sumbangan, ibu Allahyarham Abu Zarin, Che Som Mohd Soud, 56, (kanan).

KUANTAN – “Sudah berulang kali saya cuba menasihati arwah agar berhenti daripada bermain dengan ular,” demikian luahan, Aziena Farhana Mohd, 31, isteri kepada Abu Zarin Hussin, 33, wira penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Pegawai Bomba (PB) yang meninggal selepas koma selama tiga hari akibat dipatuk ular 16 Mac lalu.

Aziena berkata, sejak mengenali arwah suaminya itu, dia memang meminati beberapa jenis haiwan liar dan berbahaya termasuk ular.

“Arwah memang suka pada binatang, dia sendiri pun ada membela tupai dan musang. Sudah banyak kali saya menasihatinya agar berhenti mengendali ular tetapi dia hanya meminta saya bersabar.

“Namun begitu, saya tetap bersabar memandangkan arwah ada bercadang berpindah ke Terengganu dan tinggal bersama, malah turut berjanji ketika itu hanya memantau sahaja anggota terlibat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmagan 30 tahun, JBPM Pahang 2017, di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Aziena mewakili Allahyarham Abu Zarin menerima Pingat Kebesaran JBPM dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta sumbangan daripada kerajaan negeri sebanyak RM10,000 yang disampaikan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim.

Turut hadir, Pengarah JBPM Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Timbalan Pengarahnya, Mohd Sani Harul.

Abu Zarin bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh terkenal menerusi kemahirannya menangkap dan menjinak ular tedung meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAH) Temerloh kira-kira jam 12.55 tengah malam selepas dilaporkan kritikal dipatuk reptilia berbisa itu pada 12 Mac lalu.

Sementara itu, Wan Mohd Noor berkata, Abu Zarin yang bertugas sebagai PB dinaikkan pangkat kepada Pegawai Bomba Kanan II.

“Kenaikan pangkat ini adalah sebagai tanda penghargaan di atas segala jasa dan dedikasinya sepanjang berkhidmat di jabatan ini.

“Diharap dengan kenaikan pangkat, anugerah dan pemberian sumbangan tersebut sedikit-sebanyak dapat membantu keluarga arwah Abu Zarin,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian


Apa Kata Anda?