KJ sah rebut jawatan no. 1 Umno

Khairy memuat naik borang pencalonannya ke laman Instagram pada petang Ahad. – Instagram/@Khairykj

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin mengesahkan akan bertanding jawatan presiden Umno, sekali gus bakal menentang Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengesahan itu dibuat melalui posting terkini beliau dengan memuat naik kertas pencalonannya di laman Instagram pada petang Ahad.

Khairy memuat naik gambar tersebut berserta kapsyen : “Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Bismillahirrahmanirrahim.”

Posting tersebut disambut baik oleh pengikutnya yang rata-rata bersetuju dengan keputusan beliau itu.

Terdahulu, media melaporkan, sumber berkata bahawa Ketua Pemuda Umno itu sedang dalam proses mengemukakan kertas pencalonannya untuk pemilihan parti pada 30 Jun.

Hari ini (17 Jun) adalah hari terakhir untuk penyerahan pada pukul 5.30 petang.

Selain Tengku Razaleigh dan Ahmad Zahid, Khairy berdepan dengan seorang lagi pencabar iaitu ahli perniagaan dan blogger Rahmat Azim Abdul Aziz.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa Khairy adalah calon terbaik untuk jawatan itu kerana Umno kini dianggap sebagai parti dalam kekacauan dan tidak ada arah dalam perjuangannya.

 

Sumber: Mstar


Apa Kata Anda?