Syukor ‘Mowgli Malaysia’, seorang dalam sejuta – Komen Jurugambar

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Rupanya Malaysia juga ada Mowgli iaitu watak dalam The Jungle Book. Dalam kisah dongeng berlatarbelakangkan negara India itu Mowgli adalah seorang budak yang sangat akrab dengan haiwan.

Di Malaysia, Syukor Khamis boleh dianggap sebagai Mowgli kerana keakrabannya dengan haiwan. Setidak-tidaknya iaitulah yang diberitahu oleh Nazri Sulaiman seorang jurugambar yang menjadikan Syukor dan haiwan peliharaan ayahnya sebagai subjek yang dirakam.

Gambar Syukor bersama haiwan peliharaan ayahnya yang dirakam oleh Nazri telah memenangi anugerah antarabangsa baru-baru ini.

Apa yang menarik mengenai gambar-gambar yang dirakam Nazri menunjukkan betapa mesranya hubungan haiwan seperti kerbau, lembu dan kambing dengan Syukor.

Jelas Nazri, kawan Syukor bukan hanya kerbau, kambing dan lembu tetapi juga angsa dan burung. Syukor dan haiwan-haiwannya bergurau seperti ‘kawan-kawan sekolah’.

Menurut Nazri, Syukor adalah anugerah Allah kepada keluarganya kerana dalam sejuta orang pun susah nak jumpa seorang kanak-kanak sepertinya.

“Saya pernah jumpa ketika travel di Indonesia dan Thailand seorang budak baik dengan seekor kerbau jinak yang telah dicucuk hidungnya. Itu biasa.

“Tapi tak pernah saya jumpa seorang budak yang boleh berkawan dengan 70-80 ekor kerbau (yang tidak dicucuk hidungnya) dalam satu masa. Mereka dah kenal dah dengan Syukor ni.

“Sesetengah kerbau ada namanya seperti Awang (dah mti), Semek, Baba dan kambing ni pun namanya Bo,” kata Nazri dalam catatannya di Facebook.

Menurut Nazri, Syukor tinggal di Terengganu dan mereka yang mahu melawat Mowgli Malaysia dan haiwan-haiwannya ini bolehlah berhubung melalui Facebook ‘Syukor Khamis – Kampong Boy’.

Nazri berkata, ayah Syukor yang dikenali sebagai Pak Khamis akan membawa tetamu ke kandang kerbaunya di Kubang Bujuk bersama Syukor.

“Walaupun kerbau-kerbau tu dah kenal dgn Syukor tetapi ia tetap haiwan jugak, faktor keselamatan tetap diutamakan. Sebab itu ayahnya mesti ada bersama.

“Bagi orang dari luar Terengganu yang nak datang sama ada untuk melawat atau mengambil gambar, Pak Khamis ada sediakan bilik di kawasan halaman rumahnya. Jadi tak perlulah nak sewa bilik hotel mahal-mahal kat Kuala Terengganu tu,” kata Nazri.

“Dulu ayah sering dihina kerana Menternak kerbau”-Mohd Syukur

Tak pernah terlintas di fikiran minat dan kelebihan saya bermanja dengan kerbau membuatkan saya terkenal sehingga ke luar negara,” kata Mohd Syukur Khamis, 14, yang foto memaparkan aksi manjanya bersama haiwan itu tular di media sosial.

Pelbagai aksi pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu dengan kerbau peliharaan bapanya mendapat pujian pengguna media sosial, termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang menyatakan kekagumannya terhadap keakraban dan kemesraan Mohd Syukur bersama haiwan itu yang disifatkannya begitu ikhlas.

Gambar tular itu dirakamkan jurugambar dikenali sebagai Dollah Deen Photography yang berasal dari Kelantan tetapi bekerja di Kuala Terengganu dan Mohd Nazri Sulaiman yang juga anak jati negeri ini tetapi kini menetap di Kuala Lumpur.

Keunikan gambar itu melayakkan Mohd Nazri yang menetap di Kuala Lumpur memenangi anugerah ‘Street/People Photographer of The Year Asian Geographic -Image of Asia 2018’ dan ‘Remarkable Award di Siena International Photography Award 2018, Italy.’

Malah, selain Mohd Nazri, sebelum ini sudah ramai jurugambar yang memenangi anugerah hasil gambar memaparkan momen Mohd Syukur bersama haiwan ternakan itu.

Mohd Syukur berkata, sejak usia empat tahun dia sudah terbiasa mengikut bapanya, Khamis Jusoh, 63, ke kandang kerbau di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu menyebabkan hubungannya dengan haiwan itu sangat rapat dan akrab.

Malah, ketika mengikuti Mohd Syukur ke kandang kerbau itu haiwan berkenaan umpama taat dan mendengar kata, serta menurut segala arahan remaja itu lantas memudahkan sesi fotografi.

Mohd Syukur yang mesra disapa Kur di kalangan ahli keluarganya berkata, dia tidak takut bermanja dengan peliharaan itu yang dianggap sebagai rakannya.

“Ada orang kata saya ada ilmu penunduk sedangkan tidak. Mungkin sebab saya dah biasa dengan mereka sejak kecil jadi mereka kenal tuan dan mendengar kata. Tetapi sebenarnya saya bukan saja akrab dengan kerbau, tetapi juga lembu, kambing dan angsa peliharaan bapa.

“Cuma untuk sesi fotografi, jurugambar cenderung memilih kerbau kerana jumlahnya yang banyak sehingga lebih 100 ekor,” katanya yang menjadi perhatian jurugambar seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat dan India sejak 2016.

Kebanyakan kerbau, lembu dan kambing yang akrab dengannya diberi nama seperti Awang, Wahab, Saat dan Boy dan haiwan ini boleh bergaul dengan Mohd Syukur seperti manusia, malah ada yang tidur bersamanya ketika kecil.

“Kalau kambing pula saya rapat dengan Saat. Selepas tiga hari dia lahir, ibunya mati dan saya menyusukannya setiap hari dan menjaganya sehingga bawa tidur bersama di atas rumah. Kerbau yang sangat rapat dengan saya dan sering menjadi teman ketika fotografi bernama Awang juga sudah mati,” katanya.

Anak bongsu dari lapan beradik itu berkata, walaupun sering didatangi jurugambar yang mahu merakam gambarnya, keluarganya tidak pernah menetapkan sebarang bayaran, sebaliknya tumpang gembira apabila jurugambar bertuah memenangi pertandingan antarabangsa.

“Cuma kebanyakan jurugambar ada memberi ‘tips’ dan jika ada saya terima, jika tak ada pun tak mengapa. Saya bersyukur kerana dengan kelebihan saya ini, sehingga kini saya dapat menyimpan kira-kira RM1,000 hasil ‘tips’ yang diterima,” katanya yang bercita-cita menjadi penternak.

Mohd Syukur berkata, selepas tular dan dikenali ramai dia menerima ucapan tahniah daripada guru dan rakan sekolahnya yang turut datang ke kandang untuk merakamkan gambar bersamanya dan kerbau berkenaan.

“Saya tidak bangga apabila menjadi tular, tetapi gembira sebab dulu ayah sering dihina kerana pekerjaannya sebagai penternak kerbau. Tetapi hari ini, saya seronok kerana dapat buat ayah bangga dan mengubah persepsi orang terhadap pekerjaan ayah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu, hari ini.

Mohd Syukur bukan sahaja berkebolehan menjinakkan binatang, tetapi juga berkemahiran membaiki motosikal, kerana sering membantu abangnya, Mohamad Alias, 29, yang bekerja sebagai mekanik.

Sementara itu bapa Mohd Syukur, Khamis Jusoh, 63, berkata, dia menjadi penternak kerbau sejak 30 tahun lalu dan tidak pernah menyangka anaknya akan menjadi tular seperti hari ini kerana haiwan peliharaannya itu.

“Mohd Syukur memang suka ikut saya ke kandang terutama setiap petang ketika kerbau masuk semula ke kandang. Sebenarnya semua anak saya pun rapat dengan binatang peliharaan saya termasuk yang perempuan, tetapi Mohd Syukur lebih sedikit kerana haiwan ini bijak menunjukkan kasih sayang ketika bersamanya.

“Walaupun Mohd Syukur kini menjadi tumpuan, saya tidak pernah mengambil kesempatan untuk menjadi kaya kerananya, malah saya tidak mengenakan sebarang bayaran.

“Ramai yang kata, jurugambar yang merakam gambar Mohd Syukur dan masuk pertandingan menang beribu-ribu ringgit dan saya patut minta bayaran, tetapi bagi saya, cukuplah mereka doakan saya sihat dan sedekahkan Alfatihah jika saya sudah tiada nanti,” katanya.

Sementara itu Mohd Nazri ketika dihubungi berkata, gambar Mohd Syukur bersama kerbaunya itu yang melayakkan dia memenangi anugerah peringkat antarabangsa sehingga disenaraikan dalam 20 gambar terbaik dunia dirakamkan pada 2017.

“Saya tahu mengenai Mohd Syukur pada 2014 selepas melihat gambar dimuatnaik Dollah Deen Photography di Facebook. Ketika itu saya terdetik mahu mencari Mohd Syukur dan terfikir saya ini orang Kuala Terengganu, tetapi tidak tahu mengenai remaja ini.

“Bermula dari situ saya baik dengan keluarganya dan setiap kali pulang ke Kuala Terengganu saya akan mengambil gambar Mohd Syukur. Tidak sangka pula gambar yang dirakam pada 2017 itu membawa tuah kepada saya,” katanya.

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! BeritaSteady
Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di @BeritaSteady

Sumber: Utusan ,Harian Metro via EdisiMedia

Apa Kata Anda?