Guardiola akui bimbang dipecat City musim lalu

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui pernah terfikir beliau mungkin akan dipecat dari Etihad pada musim lalu.

Pengendali berusia 47 tahun itu ketika ini di ambang untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) pertamanya dengan kemenangan ke atas Everton, awal pagi esok memberinya peluang untuk memiliki kelebihan 19 mata di puncak liga.

Dengan hanya 21 mata maksimum yang boleh dikumpul pada baki musim ini, City tampak tidak mampu lagi disekat dengan pencabarnya adalah seteru tetangga, Manchester United. 

Melihat kepada dominasi yang ditampilkan City ketika ini, agak mustahil untuk memikirkan pengurus dari Sepanyol itu bimbang mengenai posisinya kurang 12 bulan yang lalu.

Begitupun pada aksi di Goodison Park pada Januari 2017, ceritanya cukup berbeza apabila City dimalukan dengan kekalahan 4-0 sekali pun tampil mendominasi perlawanan sebelum menamatkan saingan di tangga ketiga, 15 mata di belakang juara Chelsea.

Dan Guardiola akhirnya membuka mulut mengenai kebimbangan betapa kaedahnya di Etihad tidak akan berhasil dan berfikir mungkin akan dilepaskan.

PEMAIN City gigih berlatih. FOTO/AFP

“Sudah tentu. Saya fikir jika ia tidak menjadi, saya akan pulang ke rumah, seorang lagi akan datang dan cuba menggunakan pendekatannya, jadi ketika itu ada kebimbangan mengenai keputusan, apa yang boleh kami lakukan untuk meningkat,” kata Guardiola.

“Ketika itu, saya fikir ia mungkin berlaku, tetapi ia tidak terjadi. Tetapi pada masa sama, saya berfikir jika musim depan tidak berjalan dengan baik, jika ia kekal saya, Txiki (Begiristain, Pengarah Bolasepak) atau Ferran (Soriano, Ketua Pegawai eksekutif Ciy) akan memutuskan ‘Baiklah Pep, kamu tidak cukup bagus’ dan tukar.”

Bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu turut mengakui dia turut meragui kemampuan dirinya pada musim lalu terutama apabila pasukannya tidak memperoleh keputusan yang diharapkan.

“Sudah tentu kamu berfikir ‘Ia tidak berjalan dengan baik, kami tidak menang. Apa yang perlu kami lakukan?’,” katanya.   “Ia adalah normal. Semua pengurus berfikir perkara yang sama apabila mereka tidak menang.

“Mereka berfikir ‘apa yang boleh dibuat untuk menjadi lebih baik?’ Tetapi saya bercakap banyak kali apabila ditanya, cara saya akan berjaya dan saya berkata ‘Saya akan bertegas (bermain dengan cara ini), jadi saya tidak pernah meraguinya.” – AFP

 

Sumber: Sumber


Apa Kata Anda?