Kelantan tak gentar amukan Tok Gajah

KOTA BHARU: Pengendali Kelantan, Sathit Bensoh menjangkakan Pahang bakal bangkit dengan cabaran lebih sengit dan jika itu berlaku, ia pasti menuntut benteng pertahanan pasukannya untuk bekerja lebih keras apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini.

Ini kerana Pahang kempunan untuk menang sepanjang dua aksi lalu dan sudah tentu Tok Gajah enggan terus kecewa apatah lagi pertembungan dua gergasi Pantai Timur itu akan berlangsung di depan penyokong mereka sendiri.

Justeru, Sathit pantas mengingatkan anak buahnya agar lebih bijak menutup setiap ruang kerana ia boleh mengundang bahaya buat Kelantan.

“Pahang sebuah pasukan besar dan menjadi lebih bahaya jika mereka beraksi di laman sendiri… jadi kita mahu pemain fokus dengan strategi baru dalam perlawanan itu.

“Selain perancangan itu, saya juga mengingatkan semua pemain untuk mengunci kemas pergerakan beberapa pemain Pahang… kita bimbang tuan rumah boleh menghukum kami seperti apa yang berlaku ketika menentang Terengganu, Selasa lalu,” katanya, hari ini.

Jurulatih Thailand itu bagaimanapun tetap optimis untuk meraih tiga mata dan keyakinan itu berdasarkan kepada kesungguhan serta kemampuan anak buahnya untuk mencipta kejutan di Kuantan.

“Dua perlawanan sudah dilalui tanpa kemenangan, kini pemain perlu terus berusaha keras untuk mendapatkan tiga mata yang juga kemenangan pertama musim ini.

“Walaupun saya akui ia amat sukar ditambah dengan persiapan pasukan yang tidak begitu mantap tetapi saya percaya semangat juang pemain saya semakin meluap-luap,” katanya.

 

Sumber: BHarian


Apa Kata Anda?