Klopp akui hampir menangis lihat Salah serah sepakan penalti kepada Firmino

Firmino tenang menyempurnakan sepakan penalti.

JURGEN Klopp terharu dengan tindakan Mohamed Salah yang memberi peluang menyempurnakan sepakan penalti kepada rakan sepasukannya.

Klopp mendedahkan bahawa dia begitu tersentuh melihat Salah memberi laluan kepada Roberto Firmino menyempurnakan sepakan penalti kedua sekaligus melengkapkan keputusan 5-1 ke atas Arsenal pada aksi Liga Perdana awal pagi Ahad.

The Reds menang bergaya di Anfield dan mengukuh kedudukan di tangga pertama liga dengan kelebihan sembilan mata daripada Spurs.

Pada perlawanan  tersebut The Gunners membuka jaringan menerusi Ainsley Maitland-Niles pada minit ke-11, namun Firmino berjaya menyumbat dua gol pada separuh masa pertama.

Aksi cemerlang anak buah Klopp diteruskan dengan Sadio Mane yang memberi gol ketiga sebelum Salah mengukuhkan kedudukan selesa di hadapan penyokong sendiri itu dengan gol keempat.

Namun kesilapan lawan ke atas Dejan Lovren menyebabkan Liverpool dihadiahkan sepakan penalti dan Firmino berjaya melengkap hatriknya kali ini.

“Mo Salah memberi sepakan penalti kepada Bobby Firmino dan saya hampir menangis.

“Ia sesuatu yang besar kepadanya. Kita semua tahun Mo sentiasa mahu menjaringkan gol dalam apa sahaja situasi dan dia berikan peluang itu kepada rakan sepasukan.

“Krismas sudah berlalu tetapi tidak kepada pemain-pemain dan ia sangat menarik dan semuanya baik-baik,” ujar Klopp kepada BBC.-Dailymail / Mstar


Apa Kata Anda?