Klopp beri masa Salah solat sebelum perlawanan

Pengurus Liverpool dalam wawancara bersama Channel 4 mendedahkan dia akan memberikan masa kepada pemain beragama Islam dalam pasukannya untuk bersolat sebelum perlawanan.

Menurutnya, dia dan pasukannya akan tiba lebih awal di bilik persalinan dan menunggu penyerang sensasi Liverpool Mohamed Salah, selain Sadio Mane dan Emre Can selesai menunaikan solat.

“Dia (Salah) seorang muslim dan dia melakukan apa yang muslim lain lakukan sebelum perlawanan.

“Jadi, kami semua datang seminit atau dua minit lebih awal ke bilik persalinan. Supaya dia sempat menyediakan diri untuk perlawanan. Sama juga seperti Sadio Mane, dan Emre Can, mereka semua melakukannya,” katanya.

Klopp juga menjelaskan pemain lain tidak merungut atau bertanya kenapa harus menunggu.

“Tiada orang pun merungut bertanya, kenapa kami harus tiba lebih awal dan harus tunggu. Itu semua normal dalam satu pasukan, kita cuba saling memahami satu sama lain,” tambahnya.

Mengulas lanjut tentang Salah, Klopp menyatakan kekaguman pada watak anak muda kelahiran Mesir itu yang seakan-akan menjadi duta bangsanya.

“Ia sesuatu yang menakjubkan. Inilah yang kita perlukan buat masa ini.

“Melihat seorang pemuda yang penuh dengan keceriaan, penuh dengan kasih sayang, penuh dengan rasa persahabatan dan penuh dengan segalanya.

“Dalam dunia ini, kita agak bergelut untuk memahami semua perkara yang berlaku di sekeliling kita dalam planet ini,” katanya.

Klopp berjaya membawa Liverpool ke separuh akhir Liga Juara-Juara dan akan bertembung AS Roma awal pagi ini.

Semalam, Salah diundi sebagai pemenang Anugerah Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) 2017-18 mengalahkan Kevin de Bruyne, Harry Kane, Leroy Sane, David Silva dan David de Gea.

 

 

 

Sumber: malaysiakini.com


Apa Kata Anda?