Klopp, Reds hormati tuntutan Salah, Mane, Can

LIVERPOOL, England: Juergen Klopp mendedahkan bintang Liverpool yang beragama Islam termasuk Mohamed Salah, Sadio Mane dan Emre Can diberikan ruang dan masa untuk melaksanakan kewajipan mereka sebagai Muslim.

Menerusi wawancara bersama penyiar Britain, Channel 4 sebelum separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang AS Roma di Anfield, awal pagi tadi, Klopp mendedahkan beliau dan pasukannya menghormati tuntutan agama pemainnya termasuk membenarkan mereka mendirikan solat.

Sambil memuji impak yang dibawa oleh bintang dari Mesir, Salah sebagai menakjubkan, Klopp berkata, ia adalah apa yang diperlukan oleh Reds ketika ini.

“Menakjubkan untuk melihat seorang pemuda hebat yang penuh dengan keceriaan, penuh dengan kasih sayang, penuh dengan rasa persahabatan dan penuh dengan segala-galanya,” kata pengurus dari Jerman itu.

“Dalam dunia yang mana kita agak bergelut untuk memahami semua perkara yang berlaku di sekeliling kita, menakjubkan untuk kami memilikinya di sini.

“Dia (Salah) seorang Muslim dan dia melakukan apa yang Muslim lain lakukan sebelum perlawanan. Membersihkan diri (wuduk) dan perkara seumpamanya.

“Jadi kami datang seminit atau dua minit lebih awal ke bilik persalinan supaya dia boleh menyediakan diri untuk perlawanan. Sama seperti Sadio Mane, Emre Can dan mereka melakukannya,” katanya.

“Tiada seseorang pun menyoal, kenapa kami harus tiba lebih awal dan perlu menunggu. Itu semua normal dalam satu pasukan, seperti dalam dunia yang ideal, kami cuba saling memahami antara satu sama lain,” katanya.

Impak dibawa Salah yang mengharungi musim pertamanya bersama Liverpool musim ini cukup menakjubkan malah peminat turut menyanyikan lagu ‘I’ll be Muslim too’ kerananya.

“Mo Sa-la-la-la-lah, Mo Sa-la-la-la-lah, if he’s good enough for you, he’s good enough for me, if he scores another few, then I’ll be Muslim too,” itulah yang dinyanyikan peminat dari stadium hingga ke pub ketika mereka menonton aksi lincah Salah.

Pada perlawanan dengan Roma, awal pagi tadi Salah terus mengganas apabila meledak dua gol dan melakukan dua umpanan untuk membantu Liverpool menang besar 5-2.

Semalam, Salah yang sudah meledak 43 gol dalam semua pertandingan bersama Reds musim ini dipilih sebagai pemenang Anugerah Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) 2017-18 dengan menewaskan Kevin de Bruyne, Harry Kane, Leroy Sane, David Silva dan David de Gea. – Agensi

 

Sumber: Sumber


Apa Kata Anda?