Maafkan saya: Karius

KIEV: Penjaga gol Liverpool Loris Karius mengakui kesalahan atas kekalahan pasukannya kepada Real Madrid 1-3 pada final Liga Juara-Juara yang menyaksikan dua kesilapannya menghadiahkan jaringan buat lawan.

Penjaga gol kelahiran Jerman itu memberikan Real gol pertama mereka pada minit ke-51 di mana ketika dia terburu-buru memulakan serangan, dia membaling bola di depan Karim Benzema yang pantas merebut peluang untuk meledak jaringan.

Karius, 24 turut melakukan kesilapan untuk gol ketiga Real apabila Gareth Bale mencuba jaringan jarak jauh yang melepasi jangkauan penjaga gol Liverpool itu.

“Saya tidak rasa apa-apa ketika ini. Hari ini saya menyebabkan pasukan saya tewas dan ingin meminta maaf kepada semua,” kata Karius.

“Saya meminta maaf kepada semua, pasukan, seluruh kelab kerana kesilapan yang membawa padah. Jika boleh saya undurkan masa, saya akan lakukan. Saya minta maaf kepada pasukan. Saya tahu saya kecewakan mereka hari ini.

“Gol itu menyebabkan kami hilang gelaran,” katanya.

“Situasi memang sukar sekarang tetapi itulah kehidupan seorang penjaga gol. Anda perlu bangkit semula.”

Karius meniarap di padang pada akhir perlawanan sebelum dipujuk rakan sepasukan. Katanya, rakan sepasukan cuba menaikkan kembali semangatnya di bilik persalinan.

“Sudah tentu semua orang cuba menggembirakan saya tetapi suasana sepi di mana-mana kerana semua orang kecewa,” katanya.

Akur dengan kesilapan itu, Klopp amat bersimpati terhadap penjaga gol yang dibawa daripada kelab lamanya Mainz.

“Apa yang boleh saya katakan. Loris pun tahu, semua orang tahu. Ia sesuatu yang memalukan dalam perlawanan seperti ini dan musim seperti ini. Saya benar-benar simpati dengannya, dia pemain yang hebat,” kata Klopp. – Reuters

 

Sumber: bharian


Apa Kata Anda?