Peluang Rooney ke DC United

WASHINGTON: Jurulatih DC United, Ben Olsen mengesahkan kelab itu berminat untuk membawa Wayne Rooney ke Liga Bolasepak Utama (MLS) tetapi menyatakan perbincangan mengenainya ‘belum selesai.’

“Memang perjanjian masih belum selesai, tapi jelas ada minat daripada pihak atasan kami,” kata Olsen yang tampak terkejut ketika disoal selebriti daripada laman web berita, TMZ di lapangan terbang.

Rooney dilaporkan ‘pada dasarnya’ bersetuju dengan perjanjian AS$17 juta (RM67.16 juta) daripada kelab MLS itu sekali gus menyaksikannya meninggalkan Everton, kurang 12 bulan selepas menyertai pasukan itu dari Manchester United.

Begitupun, pengurus Everton Sam Allardyce berkata, Rooney masih belum membuat permohonan untuk berpindah.

Akhbar Washington Post yang memetik sumber rapat DC United, melaporkan peluang bekas kapten England itu ke Amerika Syarikat adalah “50-50” dan tiada persetujuan rasmi sudah dicapai. – Reuters

 

Sumber: bharian


Apa Kata Anda?