Peluang terakhir Liverpool

LONDON: Pertembungan dengan Brighton & Hove Albion di Anfield pada hujung minggu depan adalah peluang terakhir Liverpool untuk memastikan kedudukan empat teratas tidak terlepas dalam genggaman selepas tewas 1-0 kepada Chelsea, awal pagi tadi, demikian menurut jurulatih, Juergen Klopp.

Tandukan penyerang Chelsea, Olivier Giroud pada separuh masa pertama sudah cukup memastikan tiga mata buat pasukan tuan rumah. Liverpool meningkatkan asakan namun gagal mencari jaringan penyamaan.

Liverpool kini 72 mata di hadapan Tottenham Hotspur yang meraih 71 mata dan Chelsea, 69, dengan kedua-dua pasukan memiliki kelebihan satu perlawanan.

Bagaimanapun, Liverpool yang memiliki perbezaan jaringan lebih besar perlu menang pada aksi terakhir menentang Brighton sekali gus kedudukan empat teratas terjamin buat The Reds tidak kira apapun keputusan baki perlawanan pasukan tempat keempat, Spurs dan Chelsea.

“Saya amat bangga dengan komitmen pemain. Mereka tidak mengalah. Sudah tentu kami beraksi dengan baik musim ini tetapi menentang Chelsea yang pasukan kelas dunia, benar-benar mencabar,” kata Klopp.

“Sekarang fokus perlawanan terakhir pada Ahad depan. Chelsea juga mahu menang. Kami beraksi di tempat sendiri dan Chelsea terpaksa ke Newcastle. Sudah pasti ia bukan trip percutian.”

Liverpool akan menentang Real Madrid dalam aksi final Liga Juara-Juara dan layak automatik ke liga elit Eropah itu musim depan jika muncul juara.

Tumpuan di Stamford Bridge tertumpu kepada penjaring terbanyak liga, Mohamed Salah yang berdepan kelab lamanya tetapi penyerang Mesir itu dilayangkan kad kuning kerana berlakon menjatuhkan badan dan kurang menyengat.

Tetapi itu tidak merisaukan Klopp. “Dia boleh beraksi lebih baik dan menemui kembali sentuhan penyudah. Perlawanan hari ini bukan untuknya,” kata Klopp. – Reuters

 

Sumber: bharian


Apa Kata Anda?