Peminat Liverpool ‘nak jadi Muslim’ kerana Salah

Sekali lagi membuktikan kemahiran yang diidamkan penyokong, dua nama menjadi sebutan utama peminat Liverpool sejak awal pagi tadi.

Mereka ialah Sadio Mane dan Mohamed Salah. Dan menariknya kedua-dua mereka adalah pemain handalan yang beragama Islam.

Ketika menentang FC Porto di gelanggang Estadio do Dragao itu kedua-dua mereka mempamerkan aksi cemerlang. Mane sendiri menyumbang tiga gol, manakala selebihnya hasil jaringan Salah dan Roberto Firmino.

Dan kejayaan membenam lawan di gelanggang lawan itu memberi alasan yang cukup kuat untuk penyokong mereka berpesta.

Ia adalah kejayaan pertama The Kop menembusi pusingan kalah mati kejuaraan Liga Juara-juara sejak 2009.

Selepas perlawanan berakhir sebahagian besar penyokong Liverpool yang berkunjung ke Porto hanya menyebut satu nama – Mo Salah.

Sejak menunjukkan kelincahannya di atas padang, pemain warga Mesir yang dibeli dari kelab Roma itu segera memikat hati peminat Liverpool.

Malah mereka mencipta lagu khusus untuk Salah – yang digelar sebagai “raja Mesir” – itu. Ia adalah lagu yang diubah suai liriknya daripada irama kumpulan Britain, James, berjudul Sit Down.

Lagu itu dinyanyikan ketika mereka bergembira meraikan kemenangan Liverpool di dalam sebuah pub.

Salah yang baru-baru ini diangkat sebagai pemain terbaik Afrika sudah menjaringkan 30 gol untuk Liverpool.

Selain itu dia juga banyak berjasa kepada kelab berkenaan atas sumbangannya membantu pemain sepasukan menjaringkan gol.

Baru berusia 25 tahun beberapa laporan menggambarkan Salah sebagai seorang Muslim yang baik dan banyak membantu orang ramai.

Antara kisah yang banyak diperkatakan mengenai Salah ialah semasa dia bermain untuk kelab Al-Ittihad Alexandria di Mesir.

Pada suatu hari rumah keluarganya dirompak dan penjenayah terbabit ditahan polis dua hari kemudian.

Tidak seperti kebanyakan orang, Salah meminta pihak berkuasa tidak mendakwa perompak terbabit walaupun bapanya berharap hukuman dikenakan ke atas lelaki berkenaan.

Sebaliknya Salah memberikan sejumlah wang kepada perompak berkenaan untuk memudahkannya memulakan hidup baru.

Tidak cukup dengan itu Salah membantu lelaki berkenaan mendapatkan pekerjaan.

 

Sumber: malaysiakini


Apa Kata Anda?