Penyokong United ‘seperti mati’ jika City menang

MANCHESTER, United Kingdom: Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba mendedahkan dia lega selepas berjaya menghalang pencabar setempat, Manchester City daripada meraih gelaran Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Pogba mendakwa dia tidak sanggup melihat City berpesta meraikan kejayaan lebih awal kerana ia akan bertukar menjadi seperti ‘majlis kematian’ buat penyokong United.

Pemain ini mengenepikan musim yang sukar dan spekulasi mengenai masa depannya dengan menjaringkan dua gol selepas babak pertama untuk memimpin kebangkitan menakjubkan United, yang ditamatkan dengan jaringan Chris Smalling 21 minit sebelum tamat.

Kemenangan buat City akan menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola dimahkotakan selaku juara dan mengambil alih rekod United dengan menang gelaran ketika masih berbaki enam perlawanan.

SITUASI tegang berlaku pada minit akhir perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan. – Foto AFP

“Jika mereka (City) menang kejuaraan, ia seperti satu ‘kematian’ buat penyokong (United),” kata pemain Perancis itu.

“Untuk kalah berdepan City dan melihat mereka meraikannya, saya tidak boleh biarkan ia berlaku. Pada babak pertama dalam bilik persalinan, kami katakan tiada apa yang merugikan kami.”

Walaupun kalah, City masih boleh menang gelaran liga minggu depan ketika pasukan itu memiliki jurang 13 mata berbanding pasukan tangga kedua, United.

Selepas berjaya bangkit, Pogba meminta United memenangi semula pertarungan merebut maruah di Manchester bagi saingan musim depan.

“Selepas babak kedua seperti ini, kami perlu melakukannya sepanjang masa. Jika kami berjaya melakukannya, mungkin ia boleh berlaku di masa depan,” katanya – AFP

 

Sumber: Sumber


Apa Kata Anda?