Persiapan Reds terganggu

ROME: Liverpool kembali merenung apa yang pernah berlaku sepanjang aksi mereka di peringkat Eropah dan pertembungan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara di Rome bakal berlangsung dengan kawalan keselamatan yang sangat ketat.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu semakin hampir untuk layak ke final pertandingan utama bagi kelab Eropah – kejayaan pertama sejak 2007 – dan kali ini, Reds memiliki kelebihan tiga gol berbanding kelab Itali, AS Roma.

LEGENDA Roma, Francesco Totti merayu penyokong supaya menerapkan konsep ‘fair play, mesra dan menghormati lawan.’ – Foto EPA

Tetapi, ‘ketegangan’ luar padang pantas mewarnai perlawanan apatah lagi salah seorang penyokong Liverpool, Sean Cox kini koma selepas diserang sejurus sebelum perlawanan pertama di Anfield sebelum ini.

Dua penyokong Roma ditahan bagi membantu siasatan serta didakwa atas tuduhan cubaan bunuh dan legenda kelab, Francesco Totti merayu penyokong supaya menerapkan konsep ‘fair play, mesra dan menghormati lawan.’

Bekas penyerang Roma, Mohamed Salah menjaringkan dua gol dan membantu dua lagi jaringan ketika aksi di Anfield sebelum Roma menjaringkan dua gol untuk dijadikan bekalan.

Anak buah Klopp mahu menjulang gelaran Eropah selepas menang pada 1977 dan 1984.

Di peringkat domestik, kedua-dua pasukan menduduki tangga ketiga dan masih lagi boleh layak ke saingan sama musim depan.

PEMBANTU Klopp, Zeljko Buvac mengambil keputusan untuk meletakkan jawatannya minggu ini.

Tetapi persiapan Liverpool agak terganggu menjelang aksi di Roma apabila pembantu Klopp, Zeljko Buvac mengambil keputusan untuk meletakkan jawatannya minggu ini.

Buvac yang duduk di bangku simpanan bersama Klopp ketika pasukannya seri tanpa jaringan menentang Stoke, Sabtu ini, sudah bersama pengendali Jerman itu sejak 17 tahun lalu.

Selain itu, perbalahan Liverpool dengan persatuan bola sepak Mesir mengenai hak imej penggempur, Salah seakan tidak berpenghujung.

Perlawanan menentang Roma juga akan berlangsung sehari sebelum Liverpool dijadualkan bertemu Chelsea di Liga Perdana.

“Liverpool sering terpaksa melalui jalan sukar dan kami sekali lagi berdepan masalah sama,” kata Klopp.

“Kami menghadapi masalah dan kami perlu menghadapinya.”

Pertembungan itu membabitkan dua pasukan yang tidak pernah menang gelaran domestik sejak bertahun-tahun lalu.

Kali terakhir Liverpool memenangi Liga Perdana ialah 28 tahun lalu.

Dalam tempoh itu, Reds menjulang Liga Juara-Juara pada 2005 selepas menundukkan AC Milan di Istanbul dan dua tahun selepas itu, mereka tewas di tangan musuh sama di Athens. – AFP

 

Sumber: bharian


Apa Kata Anda?