Salah yakin kembali cergas ke Piala Dunia

LONDON: Bintang Mesir Mohamed Salah ‘yakin’ mampu kembali cergas untuk Piala Dunia biarpun mengalami kecederaan bahu pada aksi final Liga Juara-Juara yang menyaksikan kekalahan Liverpool kepada Real Madrid.

Salah meninggalkan padang sambil menangis pada separuh masa pertama perlawanan yang berkesudahan dengan kekalahan 1-3 di Kiev, sekali gus mencetus kebimbangan pemain itu bakal terlepas peluang ke Piala Dunia bulan depan.

Pemain berusia 25 tahun itu mengalami masalah berkenaan apabila lengannya tertarik ke tanah sewaktu perebutan bola dengan Sergio Ramos, menyebabkan ada yang mendakwa pertahanan Madrid itu sengaja mencederakan penyerang Liverpool itu.

Bercakap selepas perlawanan akhir berkenaan, Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan kecederaan itu sebagai ‘serius’, sekali gus bimbang bahu Salah terkehel akibat insiden itu.

Kejadian itu mungkin menyebabkannya tidak dapat beraksi pada penampilan pertama Mesir di Piala Dunia sejak 1990.

INSIDEN Mohamed Salah (dua dari kiri) yang diasak kapten Real Madrid, Sergio Ramos (kiri) yang mengakibatkan kecederaan bahu yang dialami Salah pada aksi final Liga Juara-Juara. – Foto EPA-EFE

Salah kelihatan dengan lengan berbalut ketika menuruni pesawat Liverpool di Lapangan Terbang John Lennon hari ini.

Namun kini peluang Salah kembali cerah untuk menyertai rakan sepasukannya beraksi di Russia.

“Malam yang sukar, namun saya seorang pejuang. Biarpun mengalami masalah, saya yakin akan berada di Russia untuk membuat anda bangga,” kata Salah menerusi akaun Twitter rasminya hari ini.

“Kasih sayang dan sokongan anda akan memberikan kekuatan yang saya perlukan.”

Doktor pasukan Mesir Mohamed Abou El-Ela berkata dalam satu kenyataan, menurut maklumat kakitangan perubatan Liverpool, Salah hanya mengalami kecederaan ligamen.

Malah seperti yang diberitahu Salah mengenai perkembangan tahap kecergasannya di Twitter, laporan terkini di Mesir mendakwa dia hanya mengalami kesakitan pada bahagian ligamen bahu dan dijangka kembali beraksi dalam tempoh tiga minggu.

Kecederaan Salah memainkan peranan penting terhadap kegagalan Liverpool menjulang Piala Eropah keenam.

Ramos meminta maaf selepas perlawanan itu, namun pertahanan Liverpool,  Andrew Robertson membayangkan kapten Madrid itu tahu apa yang patut dilakukan ketika berlaga dengan pemain Mesir itu.

“Saya fikir, ia hanya disebabkan bagaimana Salah jatuh tetapi Ramos memang bijak.Malang sekali, ia menjejaskan rentak kami,” kata Robertson.

Mesir akan menentang Uruguay pada 15 Jun disusuli Russia dan Arab Saudi pada 19 dan 25 Jun. 

– AFP

 

Sumber: bharian


Apa Kata Anda?