Sanchez mengaku tipu cukai

BARCELONA: Penyerang Manchester United Alexis Sanchez mengaku bersalah atas dua dakwaan penipuan cukai sewaktu dia beraksi mewakili kelab Sepanyol Barcelona dan menerima penangguhan hukuman penjara selama 16 bulan, kata ejennya Fernando Felicevich hari ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pihak pendakwaraya Barcelona yang disaksikan Reuters, Sanchez didakwa melakukan penipuan cukai di Sepanyol berjumlah 983,000 euro (RM4.72 juta) membabitkan hak imej pada 2012 dan 2013 dengan menggunakan sebuah syarikat perniagaan palsu (shell company) di Malta dan tidak menyatakan pendapatan  ketika mengemukakan pulangan cukai.

Pemain Chile itu diberikan penangguhan hukuman penjara selama lapan bulan untuk setiap pertuduhan dengan denda masing-masing sebanyak 353,000 euro (RM1.69 juta) dan  237,000 euro (RM1.14 juta).

Menurut undang-undang Sepanyol, sebarang hukuman di bawah dua tahun untuk kesalahan bukan jenayah tidak memerlukan defendan dengan pertuduhan terdahulu untuk menjalani hukuman penjara.

Sanchez memuat naik pos di media sosial kenyataan daripada Felicevich yang mengkritik pihak berkuasa Sepanyol kerana mengubah kriteria pulangan cukai dan menggunakan media untuk mengaibkan pemain di mata orang awam.

“Biarpun membuktikan Alexis tidak melakukan sebarang jenayah, kami rasa bertanggungjawab, atas rekomendasi penasihat kami untuk menerima perjanjian berat sebelah bagi meredakan tekanan emosi, peribadi dan kewangan yang datang daripada kes mahkamah yang berlanjutan,” menurut kenyataan itu.

“Melihat kepada beban yang ditanggung Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi serta pemain lain, kami memutuskan bahawa jalan terbaik adalah menerima perjanjian berat sebelah itu supaya kami boleh meneruskan hidup dan tidak lagi menjadi mangsa tekanan media dan politik.”

Jurucakap agensi percukaian Sepanyol berkata mereka tidak boleh memberi komen terhadap kes individu tertentu tetapi menggunakan kaedah dan kriteria yang sama untuk setiap pembayar cukai.

Sanchez, yang menyertai United dari Arsenal bulan lalu, mengisi senarai panjang pemain La Liga dahulu dan sekarang termasuk Ronaldo, Messi, Marcelo, Pepe dan Javier Mascherano yang berdepan tindakan mahkamah kerana didakwa melakukan penipuan cukai di Sepanyol.

Sanchez menyertai Barcelona dari kelab Itali Udinese pada 2011 dan menyertai  Arsenal tiga tahun kemudian. – Reuters

 

Sumber: BHarian


Apa Kata Anda?