“Tolong hormat Solari, jangan tanya tentang Mourinho!” – Ramos

Ramos memberi amaran agar semua pihak menghormati jurulatih pasukannya, Solari. AFP

KAPTEN Real Madrid, Sergio Ramos meminta agar semua pihak menghormati jurulatih Santiago Solari kerana bertanyakan sama ada Jose Mourinho akan kembali menyertai kelab itu pada masa depan setelah dipecat oleh Manchester United.

Mourinho yang dipecat oleh United pada Selasa pernah menghabiskan tiga tahun penuh bersama Real pada 2010 hingga 2013.

Beliau berjaya memenangi gelaran La Liga dengan rekod 100 mata, jaringan 121 gol dan mengangkat Copa del Rey.

Tetapi, selama tempoh jawatannya itu, dia juga memecah-belahkan penyokong dan pemain kelab.

Ramos adalah antara pemain yang lantang mengkritik jurulatih kelahiran Portugal itu.

Namun, selepas Zinedine Zidane meninggalkan Real dan penggantinya Julen Lopetegui dipecat pada Oktober, kemudian Solari yang tidak berpengalaman pula dilantik telah menyebabkan beberapa laporan media Sepanyol mengatakan bahawa presiden Florentino Perez mungkin akan membawa Mourinho kembali.

Ramos (kanan) memeluk Solari pada sesi fotografi ketika mereka hadir pada sidang media selepas perlawanan menentang Al-Ain. – AFP

“Mourinho meninggalkan kami lima tahun lalu, namun semua orang terus bercakap mengenainya.

“Orang ramai perlu menunjukkan rasa hormat kepada jurulatih yang kita ada sekarang,” kata Ramos pada persidangan berita menjelang perlawanan akhir Piala Dunia FIFA menentang Al Ain pada Sabtu.

“Saya bukan orangnya yang memutuskan siapa jurulatih yang akan dilantik, tapi sesetengah orang fikir seolah-olah kapten akan menentukan siapa jurulatih Real Madrid yang layak dilantik,” katanya.

Kemenangan ke atas pasukan Al Ain di final Kelab Piala Dunia di Abu Dhabi akan memberikan bekas pemain tengah Real, Solari trofi pertamanya sebagai jurulatih.

Ia juga menyaksikan kelab tersebut mengatasi Barcelona sebagai pasukan paling berjaya dalam sejarah pertandingan itu yang meraih empat kemenangan.

Walaupun Solari membawa Real kepada 10 kemenangan dalam 12 perlawanan sejak menggantikan Lopetegui, pasukan itu masih menghadapi banyak kritikan untuk beberapa persembahan akhir-akhir ini. – Reuters

Sumber: Mstar


Apa Kata Anda?