Wenger belum pilih penjaga gol

LONDON: Pengendali Arsenal Arsene Wenger akan membuat keputusan esok sama ada mahu menurunkan Petr Cech atau Daniel Ospina di gawang pada pertemuan tetangga utara London menentang Tottenham Hotspur Sabtu ini.

Cech mengalami kecederaan betis dalam kemenangan 5-1 ke atas Everton Sabtu lalu dan digantikan dengan Ospina selepas minit ke-71. Namun dia sudah pulih sepenuhnya dan sedia untuk beraksi.

“Cech atau Ospina, saya akan membuat keputusan esok,” kata Wenger. “Petr Cech belum menjalani latihan tetapi saya tidakakan mengambil risiko jika dia tidak cergas 100 peratus.”

Wenger turut mengharapkan khidmat Nacho Monreal dan Danny Welbeck pada pertemuan Liga Perdana Inggeris itu.

Ia adalah kali pertama Wenger membawa Arsenal bertemu Spurs di Wembley – gelanggang bertuah buat The Gunners sebelum ini di mana mereka memenangi final Piala FA 2014, 2015 dan 2017.

“Kami rasa tahap permainan kami lebih baik di Wembley, tetapi ia hanya akan ditentukan pada hari perlawanan sebenar,” kata Wenger. “Apa yang Wembley tawarkan ialah padang yang baik yang membolehkan anda bermain dengan corak yang dirancang.”

Arsenal kini di tangga keenam liga, empat mata di belakang Spurs dan lima di belakang tiket kelayakan ke Liga Juara-Juara.

“Saya tahu kepentinga perlawanan ini dan ia adalah peluang untuk memburu tempat ke Liga Juara-Juara. Kami ketinggalan dalam kedudukan liga dan perlu mengejar,” kata Wenger yang akan berdepan Spurs buat kali ke-52 dalam tempoh 22 tahun sebagai pengendali Arsenal. – REUTERS

 

Sumber: BHarian


Apa Kata Anda?