“Anak-anak saya faham keluarga mereka susah” – Bapa murid pakai kasut, seluar besar ke sekolah –

HENDAK seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Peribahasa ini tepat menggambarkan semangat seorang murid darjah tiga di sebuah sekolah rendah di Sungai Petani, Kedah yang tetap ke sekolah meskipun terpaksa memakai kasut dan seluar sekolah bersaiz besar yang sudah lusuh.

Semangat kental Mohd Akib Jebat Hasni, 9, atau lebih mesra disapa Akib ternyata menyentuh hati seorang guru, Mohd Nasir Mohd Zain yang berkongsi kisahnya di Facebook sehingga tular sejak Jumaat.

Rata-rata seluruh rakyat Malaysia turut sebak dengan kedaifan kanak-kanak itu dan pada masa sama memuji semangatnya yang tidak malu untuk ke sekolah dalam keadaan serba kekurangan.

Bapa kepada Akib, Hasni Elias, 39, ketika dihubungi mStar Online berkata anak ketiganya itu tidak pernah mengeluh meskipun terpaksa pergi ke sekolah dalam keadaan sebegitu.

Hasni bersama isterinya di hadapan rumah sewa mereka. 

“Dia tak ada cakap nak baju, seluar mahupun kasut baru. Dia pakai apa yang ada saja. Baju, seluar dan kasut tu abang dia yang punya.

“Nak buat macam mana, nak beli semua baharu kami tak mampu. Duit tak ada. Gaji saya pun cukup-cukup makan.

“Saya rasa Akib dan anak-anak saya yang lain sudah biasa. Mereka faham mereka dari keluarga yang susah,” katanya.

Hasni, 39, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata anak-anaknya ada menerima bantuan zakat persekolahan tetapi kali terakhir diterima pada tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Lelaki Ini Ke Sekolah Memakai Kasut Dan Seluar Sekolah Milik Abangnya, Tindakan Guru Ini Mendapat Pujian Ramai

“Ada dapat bantuan zakat persekolahan… dapat baju sekolah… kasut sekolah tapi tahun ni tak dapat.

“Bantuan tu bukan mereka bagi tiap-tiap tahun. Kali terakhir dapat tahun lepas. Itu giliran abang Akib yang dapat,” katanya.

Selain Akib, Hasni dan isterinya, Siti Fauziah Abdullah, 32, turut dikurniakan tiga orang anak iaitu Wan Nurazizah Hazwani, 15, Muhammad Azahari, 13, dan Nurnina Habsah, 3.

Ditanya mengenai perasaannya apabila kisah Akib mendapat perhatian orang ramai, Hasni berkata dia gembira kerana masih ada orang yang prihatin mengenai nasib mereka sekeluarga.

Keadaan Akib memakai kasut dan sekolah sekolah yang besar mengundang sebak netizen. 

“Saya pun dimaklumkan oleh cikgu Akid (Mohd Nasir Mohd Zain) mengenai hasrat orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan.

“Kalau nak harapkan gaji saya lebih RM1,200 sebulan memang tak cukup tapi saya syukur apa yang ada.

“Jika ada orang nak bantu syukur Alhamdulillah. Hanya Allah yang boleh balas jasa hangpa semua,” katanya dalam loghat utara.

Rumah sewa enam sekeluarga itu di Taman Sri Pekula, Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah didatangi Mohd Nasir, guru yang bermurah hati membelikan baju, seluar dan kasut sekolah baharu untuk Akib pagi Sabtu.

Mohd Nasir ketika dihubungi berkata dia bertemu kedua-dua ibu bapa Akib kerana ingin menyampaikan hasrat orang ramai yang mahu membantu keluarga kanak-kanak tersebut.

“Saya pergi ke rumah mereka bersama dengan seorang lagi cikgu pagi tadi. Saya datang kerana ingin minta nombor akaun ibu dan bapa Akid supaya memudahkan proses orang ramai nak bagi sumbangan.

Cikgu Mohd Nasir bersama ibu dan bapa Akib.

“Pada masa sama saya turut meminta keizinan untuk mendedahkan nama dan gambar Akib. Mereka setuju untuk saya berbuat demikian.

“Tapi malangnya kedua-duanya tiada akaun bank. Jadi saya terpaksa ‘hold’ dulu untuk orang ramai bagi sumbangan. Saya takkan bagi akaun saya sendiri kerana seelok-eloknya biarlah sumbangan itu terus ke keluarga Akib,” katanya.

Namun cikgu Pendidikan Islam itu berkata dia akan cuba menyelesaikan isu berkaitan akaun bank itu pada Ahad.

“Saya fikir esok saya nak bawa Akib ke bank untuk buka akaun kanak-kanak. Saya fikir macam tu cara yang lebih mudah,” katanya.

Sementara itu, Hasni ketika ditanya mengenai perkara itu mengakui dia dan isterinya tiada akaun bank setelah sekian lama.

“Tak dak (akaun bank). Saya dapat gaji cash. Bini saya (akaun) Tabung Haji adalah, itu sahaja yang ada.

“Dulu ada (akaun bank) tapi dah kena beku sebab bankrap,” katanya.

Sumber: Mstar


Apa Kata Anda?