“’BFF’ isteri, bekas teman wanita saya”… Tak pelik tapi itulah realiti!

PETALING JAYA: Teman baik (BFF) isteri adalah bekas kekasih saya. Mungkin kedengaran pelik tapi situasi ini benar-benar berlaku dalam realiti kehidupan tiga sahabat baik ini.

Wan Amir akhirnya disatukan dengan suri hatinya, Hadirah yang juga teman baik kepada bekas kekasihnya, Diana pada 8 Disember lalu.

Walaupun dihimpit kenangan silam, Wan Amir, Hadirah dan Diana tetap bersahabat baik sehingga hari ini.

Malah, Diana turut menjadi pengapit kepada pasangan sama cantik sama padan ini.

Bagi sesetengah pasangan yang putus cinta, jauh di sudut hati pasti meminta agar tidak dipertemukan semula dengan bekas kekasih.

Namun bagi Wan Amir, dia tidak janggal dengan perkara itu.

“Saya tahu mereka bersahabat baik. Mereka amat rapat, sering keluar bersama dan juga ‘nakal’ bersama-sama di sekolah.

“Jadi tak ada rasa pelik. Sebaliknya hubungan kami jadi semakin rapat. Sejak saya dan bekas kekasih sudah tiada rasa cinta, jadi okay je,” katanya kepada mStar Online.

Hadirah bersama barisan pengapitnya. – foto ihsan Wan Amir

Bercerita lebih lanjut mengenai perkenalan mereka, jejaka berusia 25 tahun itu mendedahkan mereka mengenali antara satu sama lain semasa menuntut di Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS), Cheras kira-kira 12 tahun lalu.

“Kami rakan di sekolah menengah sejak Tingkatan Satu. Sewaktu di awal zaman persekolahan saya dan bekas kasih bercinta tapi tak lama.

“Saya jatuh cinta dengan isteri saya sejak Tingkatan Satu, namun dia tak mungkin dimiliki. Dia seorang yang bijak dan cantik, semua orang menjadikannya sebagai idola. Jadi saya tidak memulakan sebarang langkah,” katanya.

Wan Amir berkata semasa di Tingkatan Tiga, dia akhirnya mengalah untuk memikat isterinya dan jatuh cinta pada bekas kekasihnya.

Namun katanya, hubungan mereka tidak bertahan lama.

“Dia (Diana) bagus tetapi bukan jodoh kami untuk bersama. Masing-masing ada pandangan dan cara hidup yang berbeza.

“Jadi atas persetujuan bersama dan rasa hormat, kami berpisah,” katanya.

Menurut jurugambar profesional itu, dia memberanikan diri untuk memikat isterinya setahun kemudian.

Wan Amir dan Hadirah diijabkabul pada 8 Disember lalu. – foto ihsan Wan Amir

“Saya ajak dia keluar dan kemudian minta untuk jadi kekasih saya. Pada mulanya agak kekok tetapi perpisahan dengan bekas kekasih dilakukan atas persetujuan bersama jadi tak simpan dalam hati.

“Mereka kekal sebagai sahabat baik dan 10 tahun kemudian inilah kami. Jadi asasnya ya. Teman baik isteri saya adalah bekas kekasih saya.

“Kami masih keluar setiap minggu dengan pasukan ragbi kami. Dia adalah pengapit isteri saya. Hubungan kami amat baik,” katanya.

Gambar perkahwinan yang dimuatnaik Wan Amir pada 12 Disember lalu dengan kapsyen “You think your relationship is weird? My wife’s best friend is my ex girlfriend” menjadi tular di Twitter.

Sehingga hari ini, posting tersebut diulang kicau sebanyak 16,831 kali dan mendapat 13,212 tanda suka.

Rata -rata netizen mengagumi hubungan baik yang terbina diantara mereka.

Jelas Wan Amir dia sekadar memuat naik gambar tersebut di Twitter sekadar untuk suka-suka.

“Ia hanya untuk suka-suka sahaja tapi tak sangka sampai jadi viral. Saya juga ingin kongsikan bahawa tidak semua hubungan itu toksik dan tidak semua perpisahan itu menjelikkan,” katanya.

Sumber: Mstar


Apa Kata Anda?