[GAMBAR] Glamer Anok Mat Dan lening, Hensem Ikut Papa Comel Ikut Mama..

BARU saja diwujudkan petang semalam, akaun Instagram (IG) anak kepada Muhammad Kareef Daniel Abdullah, 29, atau lebih dikenali sebagai Mat Dan sudah diikuti 11,000 pengikut.

Akaun IG milik Muhammad Zayne Daniel James Tyler yang genap lapan bulan semalam, diwujudkan oleh Mat Dan dan isterinya, Nadifa Adnan, 29, untuk memberi kemudahan kepada ahli keluarga terutama ibu bapa Mat Dan yang berada di England mengikuti perkembangan bayinya itu.

Mat Dan berkata, dia dan isteri sebelum ini hanya memuat naik gambar anaknya di IG miliknya dan ahli keluarga dan peminat boleh mengikuti perkembangan anaknya di akaun IG itu.

“Bagaimanapun sekarang Zayne sudah genap lapan bulan, jadi saya dan isteri berasa wajar mewujudkan akaun IG miliknya sendiri. Segala perkembangan terbaru Zayne akan dimuat naik ke akaun itu.

“Kami tidak merancang mengetengahkan anak dalam bidang seni, tetapi jika ada tawaran yang sesuai ia akan dipertimbangkan mengikut kesesuaian Zayne.

“Bagi kami kewujudan akaun IG itu sekadar untuk memuat naik gambar dan video Zayne yang sedang membesar, di samping menjadi tatapan ibu bapa saya di luar negara.

“Saya dan isteri sangat terkejut apabila akaun IG yang didaftar dengan nama Zaynetyler55 petang semalam sudah diikuti 11,000 pengikut sekali gus menggambarkan sokongan peminat kepada kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dia berkata, sejak akaun itu diwujudkan, dia menerima banyak ucapan tahniah daripada peminat malah ada yang teruja dan memintanya memuat naik lebih banyak gambar dan video berkaitan anaknya di IG.

“Saya dan isteri mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang memberi sokongan dan kesudian mereka mengikuti perkembangan Zayne sangat dihargai.

“Merakam gambar Zayne menjadi hobi sampingan kami sekarang, justeru kewujudan akaun IG itu akan membuatkan kami lebih terdorong untuk merakam keletah Zayne pada setiap masa.

“Di samping berkongsi dengan pengikut di IG, segala rakaman video dan gambar Zayne di IG menjadi album kenangan pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas perkembangan terkininya, Mat Dan berkata, dia kini bertugas sebagai penyampai radio di Manis FM dan ke udara setiap hari bermula jam 6 pagi hingga 0 pagi dalam segmen Manis-Manis Pagi ditemani Dj Kai dan Dj Nura, selain menjayakan rancangan travelog makanan di stesen televisyen.

Sumber : Metro / khalifahmedia.info


Apa Kata Anda?