Kasih Seorang Bapa. Lelaki Ini Sanggup Ambil Upah RM1 Untuk Cuci Kereta Demi Beli Buku Sekolah Anak

Kerana kasihkan anak dan mahu melihatnya berjaya, seorang bapa sanggup bekerja keras melakukan apa saja pekerjaan selagi terdaya meskipun kudrat sendiri agak terbatas.

Itu yang dilakukan S Sukumaran, 40, selepas kisahnya mencari nafkah bersama anak perempuannya S Sharminy, 12, dengan mencuci kereta di kawasan parkir di Seksyen 9, Shah Alam, tular di media sosial.

Tambah membuatkan netizen bersimpati dengan nasib keluarganya, Sukumaran yang hilang sedikit keupayaan disebabkan kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu tidak menetapkan sebarang harga untuk mencuci kereta, sebaliknya bayaran bergantung kepada keikhlasan pelanggannya.

Ketika ditemui di kediamannya di Padang Jawa, Shah Alam, Sukumaran berkata, dia sudah melakukan pekerjaan itu sejak lebih dua tahun lalu selepas ditamatkan kontrak sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat.

Katanya, dia terpaksa bekerja keras untuk menyekolahkan Sharminy dan mahu melihatnya berjaya seperti kanak-kanak lain meskipun tidak boleh lagi melakukan kerja berat disebabkan kakinya dimasukkan besi akibat kemalangan.

“ Dia (Sharminy) paling banyak melalui kesusahan bersama saya dan isteri, semasa usia dia enam tahun, kami pernah tidur selama sebulan di perhentian bas di Seksyen 25, Shah Alam disebabkan tiada wang untuk sewa rumah.

“ Pada ketika itu saya mencuba pekerjaan mencuci kereta, menggunakan sebotol air 1.5 liter dan kain demi meneruskan hidup kami ketika itu,” katanya yang turut mempunyai seorang anak lelaki, S Ariganan, 6.

Sukumaran berkata, kisahnya menjadi tular kerana ada seorang pelanggan yang simpati disebabkan Sharminy tidak cukup wang untuk membayar baki duit buku sekolah.

Menurutnya, pada mulanya apabila Sharminy berjumpa pemandu kereta terbabit untuk menawarkan khidmat mencuci kereta sebelum memanggil bapanya apabila pemandu terbabit bersetuju.

“ Saya perlu kerja keras kerana sekolah tidak benarkan buku diambil selagi tidak membayar jumlah secukupnya, mujur ada manusia yang prihatin membantu pada saat wang itu betul-betul diperlukan.

“ Kehidupan kami sekeluarga masih sederhana jika dibandingkan dulu, sebab setiap hari ada duit walaupun sedikit dan cukup untuk keluarga makan saja,” katanya.

Dalam pada itu, Sukumaran turut menyatakan rasa terima kasihnya kepada semua pihak dan orang ramai yang bersimpati terhadapnya meskipun sebelum ia ditularkan. Katanya, dia sedar nombor akaun banknya turut menjadi tular, namun sehingga kini dia belum berkesempatan untuk melihat jumlah sumbangan didermakan orang ramai.

“ Kami sekeluarga hanya membeli ayam untuk dimakan sebulan sekali, tetapi ada juga orang ramai beri saya ayam goreng, masa itu punyalah gembira hati sebab saya dapat bawa pulang untuk keluarga.

“ Ada beri upah cuci kereta yang tinggi, mungkin sebab mereka sudah kenal saya dan tahu saya mencari rezeki di kawasan ini,” katanya.

Bagaimanapun, dia turut pernah menjadi mangsa apabila ada individu yang mengambil kesempatan terhadap pekerjaannya.

“ Ada yang membayar RM1 untuk mencuci sebuah kereta, saya fikir RM1 cukup untuk membeli sebuku roti untuk anak saya makan, jadi saya pun terima sahaja.

“ Namun ada mereka yang pada mulanya mahu bayar RM1, tetapi apabila selesai dibasuh, mereka terus melarikan diri dengan kenderaan itu tanpa membayarnya,” katanya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih. 

sumber : hmetro / Newsviral


Apa Kata Anda?